Bengang periuk nasi disekat, Awie nekad potong rambut kali kedua dalam tempoh 30 tahun

Bengang periuk nasi disekat, Awie nekad potong rambut kali kedua dalam tempoh 30 tahun

“Saya potong rambut pasal saya kecewa dengan keadaan dunia sekarang yang dilanda pandemik Covid-19,” kata penyanyi rock terkenal Datuk Awie mengulas penampilan terbarunya berambut pendek yang dimuat naik di media sosial, semalam.

Dalam masa sama, penyanyi kumpulan Wings ini berkata, dia juga baru sembuh dari penyakit, baru-baru ini.

“Saya tak berapa sihat hari itu. Saya ada buat pembedahan dan terlantar lama di hospital dan juga di rumah.

“Saya dah rasa macam tak bermakna semua ini. Kerja tak ada, lepas itu sakit pula. Rambut saya hari-hari banyak yang gugur. Kalau dulu rambut saya itu mahkota untuk saya bekerja dan saya rasa bangga berambut panjang, tetapi dalam situasi sekarang termasuk saya kerap sakit dan tak bekerja pula, saya rasa seperti kecewa dengan keadaan diri dan dunia yang dilanda sakit,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, setiap hari dia terbaring dan melihat rambutnya gugur tidak bermaya.

“Tiga minggu saya tak boleh buat apa-apa, cuma baring dan jalan dalam rumah saja. Saya jadi rimas dan marah.

“Jadi saya berniat memotong rambut saya untuk membuang sakit-sakit yang ada dalam diri saya pergi bersama rambut-rambut itu dan berdoa serta berharap tumbuhlah rambut yang sihat dan baik-baik bersama rezeki dan kesihatan yang elok-elok.

“Insya-Allah, itu sahaja sebenarnya yang membuatkan saya potong rambut. Saya juga sedang mencari jalan penyudahnya. Doa- doakanlah saya,” katanya.

Terdahulu, Awie pernah beberapa kali terkena sakit misteri dan berubat dengan beberapa pengamal perubatan Islam.

Dalam program sumbangan Misi Kemanusiaan Sayap-Sayap Wings serta Majlis Aqiqah & Berendoi anak keenamnya pada 17 April lalu, Awie memaklumkan dia baru keluar dari hospital.

Bagaimanapun, Awie enggan berkongsi mengenai penyakitnya itu.

Sumber – Harian Metro