Henti jadikan wakil-wakil rakyat seperti pelacur – Salahuddin
Permainan angka sokongan bagi menjatuhkan sesuatu kerajaan yang mentadbir, baik di peringkat Pusat atau negeri, perlu dihentikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Datuk Seri Salahuddin Ayub, turut mengingatkan semua pihak supaya berhenti menjadikan wakil-wakil rakyat sebagai ‘pelacur’ yang mampu dijual beli.
Beliau yang juga juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Ahli Parlimen Pulai, mengesyorkan semua pihak termasuk kerajaan, bersetuju mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) Lompat Parti, bagi menghentikan terus ‘permainan nombor’ yang menggugat kestabilan politik negara.
Katanya, RUU itu mesti dibawa ke Parlimen supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menjadi gelanggang menjual kerusi, maruah dan harga diri.
“Kita ahli politik adalah pembuat dasar penting negara, bukan ‘pelacur’ politik. Adalah penting bagi kestabilan politik dapat dicapai dalam tempoh terdekat dalam mendepani rakyat terjejas serta negara yang masin belum selesai berjuang daripada COVID-19.
“Asas ini penting bagi saya, kerana ia dapat memperkukuhkan politik kita dan tidak akan ada lagi permainan nombor atau ‘games of numbers’ lagi,” katanya pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini, hari ini.
Salahuddin berkata, RUU Lompat Parti itu sekali gus menjunjung titah Sultan Johor pada perasmian persidangan DUN bulan lalu yang menitahkan supaya persidangan DUN tidak menjadi sangkar beruk.
“Kita tidak mahu lagi Parlimen dan DUN ini menjadi sangkar beruk di mana terdapat lagi wakil-wakil rakyat yang menjual mempergadaikan mandat mereka lompat ke sana ke mari,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin berkata, semua ahli politik juga seharusnya memfokus kepada rakyat yang masih terbelenggu dengan COVID-9.
“Saya mencadangkan dalam cadangan Pakatan Harapan (PH) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, supaya peruntukkan sebanyak RM45 billion secara tunai disalurkan untuk memerangi COVID-19.
“Ia termasuk dengan vaksinasi. Yang keduanya adalah peruntukan RM10 billion lagi untuk bantu golongan yang kehilangan pekerjaan termasuk kumpulan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan juga moratorium tiga bulan tanpa faedah kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Sumber – Berita Harian