Panas!!! Exco Armada Bersatu dakwa Maszlee ‘tak boleh pakai’

Panas!!! Exco Armada Bersatu dakwa Maszlee ‘tak boleh pakai’

Saya berasa amat hairan dengan tindakan Dr Dr Maszlee Malik yang mengaitkan Tan Sri Muhyiddin sebagai orang yang bertanggungjawab menyebabkan dia disuruh meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Kononnya Tan Sri Muhyiddin marah kepadanya kerana tidak menyambung kontrak 1Bestarinet.

Saya tidak ingin mempersoalkan kenyataan Dr Maszlee. Itu kenyataan dia. Cuma saya terfikir, Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dari 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, iaitu selama 17 bulan 16 hari.

Jika benarlah Tan Sri Muhyiddin mempunyai kepentingan dalam projek 1Bestarinet, kenapa beliau yang mempunyai kuasa sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan 16 hari itu tidak mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk memperbaharui kontrak 1Bestarinet?

Sebagai Perdana Menteri beliau tentunya mempunyai kuasa yang besar. Jika beliau boleh mendesak Tun Dr Mahathir supaya memecat Dr Maszlee, takkanlah beliau apabila menjadi Perdana Menteri tidak boleh mengarahkan Menteri Pendidikan supaya mengikut kehendaknya?

Bukankah lebih mudah untuk beliau sebagai Perdana Menteri memberi arahan kepada Menteri yang beliau sendiri lantik untuk memenuhi kepentingan peribadinya?

Tetapi Tan Sri Muhyiddin tidak melakukannya. Kita lihat fakta. Kontrak 1Bestarinet yang dilaksanakan secara tender terbuka bermula untuk Fasa 1 pada tahun 2011 ketika Tan Sri Muhyiddin adalah Menteri Pendidikan dan Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri. Tan Sri Muhyiddin dipecat oleh Datuk Seri Najib dari kabinet pada tahun 2015.

Kontrak 1Bestarinet disambung untuk Fasa 2 pada tahun 2016 ketika Dato’ Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Pendidikan dan Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri.

Kontrak 1Bestarinet seterusnya tidak disambung untuk Fasa 3 pada tahun 2019 ketika Dr Maszlee menjadi Menteri Pendidikan dan Tun Dr Mahathir adalah Perdana Menteri.

Kontrak 1Bestarinet juga tidak dilaksanakan semula ketika Datuk Dr Radzi Jidin menjadi Menteri Pendidikan dan Tan Sri Muhyiddin adalah Perdana Menteri. Ini faktanya.

Jadi apa isu sebenarnya berkaitan kontrak 1Bestarinet ini sehingga menyebabkan Dr Maszlee diminta meletak jawatan? Jika kita buat sedikit kajian, kita akan tahu sedikit sebanyak apa puncanya.

Mungkin ramai yang masih ingat ketika Dr Maszlee meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan pada 2 Januari 2020, terdapat kandungan satu surat yang ditulis oleh Tun Dr Mahathir kepada Dr Maszlee tular di media sosial.

Surat ini menyatakan sebab-sebab Dr Maszlee diminta meletak jawatan (Baca di sini: https://www.themalaysianinsight.com/s/210117 ) Antara sebabnya ialah kegagalannya mematuhi arahan kabinet dalam isu perkhidmatan internet percuma di sekolah. (Baca di sini: https://www.sinarharian.com.my/…/Maszlee-diarah-letak… )

Bila saya buat semakan, YTL Communications iaitu syarikat yang mengendalikan kontrak 1Bestarinet telah memfailkan tindakan semakan kehakiman ke atas Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dr Maszlee sebagai Menteri Pendidikan. Semakan kehakiman ini dibuat kerana KPM tidak mempertimbangkan cadangan syarikat itu untuk membekalkan perkhidmatan internet secara percuma ke sekolah-sekolah selepas kontrak 1Bestarinet tamat.

Sebaliknya KPM melantik beberapa syarikat telekomunikasi lain untuk menyediakan perkhidmatan internet secara berbayar (Boleh baca di sini: https://www.malaysiakini.com/news/520721 ).

Mungkinkah ini isu berkaitan 1Bestarinet yang menjadi sebab peletakan jawatan Dr Maszlee? Wallahua’lam.

Cuma, saya berasa hairan mengapa Dr Maszlee menyalahkan Tan Sri Muhyiddin? Apa dosa Tan Sri Muhyiddin kepada Dr Maszlee?

Mungkin Dr Maszlee tidak begitu mengenali Tan Sri Muhyiddin. Maklumlah, dia menyertai BERSATU hanya beberapa hari sebelum PRU 14. Sebelum itu dia dilihat lebih rapat dengan DAP.

Mungkin ramai yang tidak tahu orang yang membawa Dr Maszlee masuk ke dalam BERSATU dan menamakan dia sebagai calon di Parlimen Simpang Renggam adalah Tan Sri Muhyiddin. Mungkin pertemuan dia dengan Tan Sri Muhyiddin sebelum dia menyertai BERSATU hilang dari memorinya. Bahkan Tan Sri Muhyiddin lah yang mencadangkan namanya kepada Tun Dr Mahathir untuk dilantik sebagai Menteri Pendidikan. Mungkin dia tidak tahu atau dia buat tidak tahu.

Bayangkan daripada seorang pensyarah biasa, pertama kali menjadi calon dalam pilihanraya dan kemudiannya terus jadi Menteri yang agak kanan kedudukannya dalam kabinet. Presiden parti yang beri dia peluang untuk naik dalam politik pun jadi rakan sejawatnya dalam kabinet. Mungkin sebab itulah dia tidak hormat dan tidak rasa terhutang budi kepada Presiden parti yang ada sedikit jasa kepadanya.

Sebagai aktivis ARMADA yang berjuang dari awal bersama Tan Sri Muhyiddin, saya lebih kenal Tan Sri Muhyiddin dan tahu perwatakannya. Jauh bezanya dengan Dr Maszlee.

Ketika panas isu Dr Maszlee didesak oleh netizen supaya meletak jawatan sebagai Presiden UIA, Tan Sri Muhyiddin menasihati Dr Maszlee supaya letak jawatan segera. Ini kerana pelantikan itu bercanggah dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu. Saya diberitahu ada keputusan kabinet supaya Dr Maszlee meletak jawatan. Tetapi Dr Maszlee degil. Dia ambil masa berbulan-bulan lamanya sebelum meletak jawatan.

Kalau orang yang ada disiplin parti, apabila Presiden parti beri nasihat, cepat-cepatlah ikut nasihat. Nasihat itu pun untuk kebaikan parti dan Kerajaan. Tetapi Dr Maszlee tidak ada disiplin parti. Sampai kabinet terpaksa buat keputusan. Itu pun dia ambil masa yang lama untuk patuh.
Saya tanya Tan Sri Muhyiddin susah sangatkah nak letak jawatan sebagai Presiden UIA?

Tan Sri Muhyiddin beritahu saya semasa beliau jadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan, beliau terima warkah daripada Almarhum Sultan Pahang sebagai Ketua Perlembagaan UIA pada ketika itu yang melantiknya sebagai Presiden UIA. Beliau menolak pelantikan tersebut secara terhormat kerana tidak mahu dilihat ada konflik kepentingan sebab beliau juga adalah Menteri Pendidikan.

Tetapi saya menjadi lebih hairan apabila mengenangkan tindakan-tanduk Dr Maszlee. Ketika Tan Sri Muhyiddin hendak dilantik sebagai Perdana Menteri, dia berada bersama kumpulan yang menyokong Tan Sri Muhyiddin. Tetapi kemudiannya dia membuat pusingan-u dengan mengeluarkan kenyataan tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin. Selang beberapa minit selepas kenyataannya dikeluarkan, Tan Sri Muhyiddin diumumkan sebagai Perdana Menteri. Mungkin dia tersilap langkah.

Selepas Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, dia datang berjumpa Tan Sri Muhyiddin. Kononnya menyokong Tan Sri Muhyiddin semula. Pelik saya dibuatnya. Kalau dia seorang yang berprinsip dan dia yakin Tan Sri Muhyiddin yang menjadi punca dia dipaksa meletak jawatan, kenapa dia datang berjumpa Tan Sri Muhyiddin dan menyokong Tan Sri Muhyiddin pula? Ini satu perbuatan yang pelik.

Melainkan dia datang berjumpa kerana ada tujuan tertentu. Maklumlah pada masa itu Ahli-Ahli Parlimen sedang sibuk menuntut jawatan itu dan ini dalam GLC. Adakah ini sebabnya? Saya tidak mahu menuduh.

Tak lama selepas itu, dia buat pusingan-u sekali lagi. Dia tinggalkan Tan Sri Muhyiddin dan masuk parti Pejuang bersama Tun Dr Mahathir. Dia dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Parti Pejuang.

Tetapi ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim heboh mendakwa dia ada “strong, convincing and formidable majority”, dia buat pusingan-u sekali lagi. Dr Maszlee yang pada ketika itu masih AJK Penaja Parti Pejuang telah menandatangani Akuan Bersumpah menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Tindakan dia menyokong Anwar adalah bercanggah dengan pendirian parti Pejuang. Akhirnya dia meninggalkan parti itu dan menjadi Ahli Parlimen bebas.

Saya minta maaf. Saya perhati perjalanan politik Dr Maszlee. Masih belum jauh perjalanannya. Tetapi saya nampak jelas kekaburan ‘prinsip’ Dr Maszlee. Adakah dia seorang yang berprinsip atau hanya seorang oportunis?

Mohd Ashraf Mustaqim bin Badrul Munir
Ketua Penerangan ARMADA Nasional