Tiada penangguhan lagi, mahkamah rayuan beri kata akhir kepada Khairy
Mahkamah Rayuan hari ini memberi amaran bahawa tiada lagi penangguhan dalam pendengaran rayuan Khairy Jamaluddin berhubung pembayaran ganti rugi RM150,000 kepada Anwar Ibrahim dalam saman fitnah 13 tahun lalu.
Hakim Lee Swee Seng, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata kes rayuan pada 2017 itu adalah kali terakhir ditangguhkan selepas pihak pembelaan memohon penangguhan kerana ketua pasukan pembelaan Muhammad Shafee Abdullah tidak dapat menghadiri prosiding dalam talian hari ini kerana kurang sihat.
“Tidak kira apa pun, kita perlu meneruskan kes ini. Kami bersimpati dengan isu kesihatan tetapi ini adalah kes rayuan pada 2017 dan kes ini perlu dilupuskan secepat mungkin tahun ini.
“Pihak pembelaan seharusnya menyediakan peguam lain untuk penghujahan jika ketua pasukan pembelaan kurang sihat. Ini adalah penangguhan terakhir,” kata Lee kepada peguam Sarah Malini Abishegam semasa bersidang bersama-sama hakim Vazeer Alam Mydin Meera dan Darryl Goon Siew Chye.
Terdahulu, Sarah Malini, peguam menteri kesihatan itu, memberitahu panel bahawa beliau menerima panggilan dari Shafee yang memaklumkan beliau deman ekoran sakit artritis reumatoid yang lama selain mengalami kesakitan di pergelangan tangan dan bahu kanannya.
Lee kemudian mengarahkan supaya perkara itu ditetapkan untuk pengurusan kes dan tarikh pendengaran baharu kes rayuan itu oleh pendaftar mahkamah.
Peguam Anwar, J. Leela tidak membantah dengan permohonan penangguhan itu dan kemudian memberitahu media bahawa mahkamah menetapkan 2 November ini untuk mendengar rayuan tersebut.
Anwar, yang juga presiden PKR, menyaman Khairy, yang ketika itu menteri belia dan sukan dan juga naib ketua Pemuda Umno pada 7 Mac 2008, mendakwa Khairy membuat kenyataan memfitnahnya dalam ceramah di Lembah Pantai pada 20 Februari tahun sama dan menyebabkan klip video bertajuk “Anwar and kin no threat” disiarkan di portal berita.
Pada September 2017, hakim Mahkamah Tinggi Azizul Azmi Adnan memerintahkan Khairy membayar RM150,000 sebagai ganti rugi am kepada Anwar.
Pada 19 Februari 2018, Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut atas sebab teknikal tanpa mendengar meritnya.
Sumber – MalaysiaNow