MKT Umno putus hubungan dengan Bersatu esok?
Pengarah Eksekutif ILHAM Centre Hisomuddin Bakar juga mengharapkan MKT Umno menggunakan resolusi cawangan Umno minggu lalu untuk mengakhiri semua kerjasama politik dengan Bersatu.
Beliau berkata, komen terbaharu oleh pemimpin Umno senada selepas tamatnya mesyuarat cawangan Umno minggu lalu.
Menjelang mesyuarat cawangan Umno hujung minggu lalu, bekas presiden Najib Razak berkata Umno bukan milik mana-mana individu atau pemimpin untuk ditentukan hala tujunya, ketika parti politik terus berbincang mengenai kerjasama dan gabungan sejak percaturan kuasa yang menjatuhkan Pakatan Harapan hampir 10 bulan lalu.
Pada masa sama, Ketua Pemuda Umno Dr Aysraf Wajdi Dusuki juga menyuarakan rasa tidak senangnya dengan Bersatu, yang didakwanya cuba melemahkan Umno dengan “membeli” ahlinya.
Hisomuddin berkata Umno mahu menjadi parti Melayu dominan, malah harus memutuskan hubungan dengan Bersatu yang disyaki sebagai perosak parti itu.
“Parti itu juga menyedari peningkatan populariti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kerana politik populisnya dan tahu mereka harus tamatkan segera sebelum terlambat,” katanya.