Hameediyah Penang didenda RM10 ribu
Restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, Hameediyah didenda RM10,000 kerana didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Premis di Jalan Campbell itu didenda RM10,000 selepas polis mendapati empat pekerjanya gagal mendaftar masuk melalui aplikasi MySejahtera sebelum memulakan kerja, lapor portal Free Malaysia Today.
Pengarah restoran, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, sekurang-kurangnya 15 anggota polis bersama tiga kenderaan tiba di restoran itu kira-kira jam 3 petang, selepas pekerjanya kembali daripada berehat dan menunaikan solat Jumaat.
Beliau yang kesal dengan cara polis menyerbu restoran itu berkata, ketika serbuan ia dipenuhi pelanggan sehingga menyebabkan mereka berasa kurang selesa.
“Kami mengakui terlepas pandang perkara itu dan segera meminta maaf kepada pegawai bertugas. Tetapi, untuk datang dengan jumlah anggota yang ramai dalam ruang restoran kecil sangat mengecewakan,” kata Riyaaz.
Susulan itu, katanya, mereka memutuskan untuk menutup kedai segera.
Bagaimanapun, ramai pelanggan yang sedang menunggu dan meminta restoran tetap dibuka kerana ada yang datang dari Kuala Lumpur.
Mereka kemudian memutuskan untuk menutup kedai pada sebelah petang.
Restoran berkenaan mempunyai 20 pekerja, yang semuanya sudah lengkap divaksin dan ia meliputi separuh daripada kapasiti restoran.
Kompaun berjumlah RM10,000 dikeluarkan di bawah Peraturan 16 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Nasional) 2021 kerana tidak mematuhi SOP ditetapkan Ketua Pengarah Kesihatan .
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong berkata, semua pengusaha perniagaan mesti memastikan pelanggan mematuhi SOP ditetapkan.
“SOP ini bukanlah baharu dan polis akan melakukan pemeriksaan di semua kedai dari semasa ke semasa,” kata Soffian.
Sumber – Agenda Daily