16 GRO warga asing ditahan, pemilik berlindung disebalik pusat cuci kereta
Tindakan licik dua pemilik premis pusat hiburan yang berselindung di sebalik pusat mencuci kenderaan di Kepong dengan menyajikan pelayan wanita warga asing tidak bertahan lama.
Taktik itu akhirnya berjaya dihidu dan digempur pihak berkuasa.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, bengkel itu diserbu pada Khamis lalu.
Katanya, Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu premis berkenaan pukul 9.30 malam dengan kekuatan 20 anggota dan hasil serbuan berjaya menahan seramai 16 orang warga asing.
“Hasil siasatan awal mendedahkan operasi dijalankan di dua lot premis rumah kedai dua tingkat manakala pintu masuk utama ke premis itu tidak mempunyai papan tanda.
“Ia hanya dibuka separuh sahaja untuk pelanggan-pelanggan tetap,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebilangan wanita GRO warga asing ditahan Imigresen selepas serbuan ke atas dua premis hiburan yang berselindung di sebalik bengkel cuci kenderaan dan menyajikan khidmat GRO asing pada 14 Oktober lalu.
Manakala satu lot lagi menggunakan papan tanda pusat mencuci kenderaan bagi tujuan mengaburi pihak berkuasa, katanya.
Tambah Khairul Dzaimee, semasa serbuan, wanita-wanita warga asing dan pelanggan cuba untuk melarikan diri tetapi digagalkan apabila kesemua jalan keluar dari premis tersebut telah dikepung pihaknya.
Siasatan lanjut mendapati modus operandi sindiket itu adalah dengan menggunakan aplikasi Whatsapp dan Telegram bagi ‘memancing’ pelanggan ke premis terbabit.
Sebilangan wanita GRO warga asing ditahan Imigresen selepas serbuan ke atas dua premis hiburan yang berselindung di sebalik bengkel cuci kenderaan dan menyajikan khidmat GRO asing pada 14 Oktober lalu.
“Dalam serbuan ini, seramai 16 orang wanita warga asing yang terdiri daripada 13 wanita Vietnam dan tiga warga Thailand berumur diantara 22 hingga 35 tahun berjaya ditahan.
“Selain itu, dua lelaki tempatan yang merupakan pekerja premis dan lima lagi lelaki tempatan yang merupakan pelanggan dikenakan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen untuk memberi keterangan.
“Hasil risikan, kegiatan tidak bermoral ini bermula dari pukul 4 petang sehingga 12 tengah malam dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya.
Malah, katanya, premis terbabit juga direka seolah-olah tidak dikunjungi namun apabila masuk ke dalam bangunan tersebut ia menyajikan pelbagai jenis hiburan serta perkhidmatan pelayan wanita.
Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.
Kesemua mereka telah ditahan dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sumber – MalaysiaGazette