Umno tangguh perhimpunan agung, tak jadi buat hujung bulan ini
Umno menangguhkan perhimpunan agung tahunan mereka ke tarikh yang belum ditetapkan.
Asalnya ia dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Jan ini.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata penangguhan itu dibuat selaras dengan pengisytiharan darurat dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sekarang.
“Tarikh baru akan diumumkan kelak,” katanya.
Perhimpunan agung Umno kali ini diadakan ketika hubungan parti itu dengan Bersatu terus menegang dengan sebahagian besar bahagiannya meluluskan usul untuk menamatkan kerjasama dengan parti serpihan mereka, Bersatu.
Usul tersebut sudah diterima di peringkat majlis tertinggi namun perlu disahkan di peringkat perhimpunan agung.
Ia berlaku ketika Umno memberi tekanan kepada kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar pilihan raya umum diadakan.
Beberapa pemimpin kanan Umno kemudian menjelaskan tuntutan itu bukan bermakna mereka mahu PRU diadakan sekarang, sebaliknya apabila ancaman wabak Covid-19 dapat dikawal.
Tumpu isu bela rakyat
Sebelum ini tiga ahli parlimen Umno sendiri mengumumkan keputusan mereka untuk tidak lagi memberikan sokongan kepada Muhyiddin menjadikan dia kini hanya didukung 109 anggota Dewan Rakyat.
Ahli parlimen yang setakat ini menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin ialah Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas).
Semasa mengumumkan keputusannya minggu lalu, Nazri memberi bayangan ada beberapa lagi ahli parlimen Umno akan mengambil langkah sama dalam tempoh “tiga empat hari” berikutnya.
Muhyiddin pada minggu lalu mempersembahkan saranan kabinet kepada Agong agar darurat diisytiharkan. Ahli parlimen Pagoh itu juga mengumumkan pelaksanaan PKP pada minggu lalu.
Ahmad berkata walaupun perhimpunan agung Umno hujung bulan ini ditangguhkan, presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi bersetuju agar pemilihan di semua peringkat diteruskan pada tarikh yang sesuai tahun ini.
Untuk rekod juga, akhir-akhir ini timbul desakan di peringkat bahagian agar Ahmad Zahid berehat ekoran tindakannya yang dikaitkan dengan sokongan bertulis kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim untuk dilantik menjadi perdana menteri menggantikan Muhyiddin.
“Sementara itu semua ahli Umno diingatkan agar sentiasa merapatkan barisan bagi menumpukan (perhatian) kepada isu-isu membela dan membantu rakyat pada ketika yang begitu mencabar ini,” kata Ahmad. – MK