Uncle Kentang selar pihak yang pertikai sumber sumbangan kerja kebajikannya
AKTIF menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada golongan memerlukan, tiba-tiba nama aktivis sosial yang cukup terkenal di Facebook, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang, menjadi ‘panas’.
Semuanya gara-gara dakwaan yang mengaitkan kononnya duit sumbangan yang diterimanya bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan, datang daripada sumber haram.
“Setiap hari ramai yang menyumbang sama ada RM1, RM2, RM10 ataupun lebih masuk dalam akaun. Takkan kita nak tanya setiap penyumbang tu duit mereka halal ke tak halal. Itu tak masuk akal namanya.
“Kadang-kadang ada dalam kalangan penyumbang ni sibuk namun dalam masa yang sama tetap nak membantu orang lain, jadi mereka akan sumbang kepada kita atau badan-badang tertentu.
“Setiap sen yang mereka sumbangkan itu adalah hasil daripada titik peluh mereka. Bila mereka amanahkan kepada kita, sudah tentunya kita akan gunakan untuk kebaikan bersama,” katanya kepada mStar.
Beberapa hari lalu, Uncle Kentang turut membuat penafian mengenai dakwaan berkenaan di laman Facebook beliau.
“Jangan jadi kekok dan tanya saya adakah duit sumbangan yang saya terima itu halal atau tidak atau perkhidmatan ambulans yang kita beri adakah dari hasil halal atau sumbangan halal.
“Saya mengaku dan bersumpah segala usaha yang kita buat adalah halal,” tulisnya.
Dalam pada itu aktivis ini menambah, dakwaan sedemikian langsung tidak melunturkan semangatnya untuk terus berjuang membela golongan yang memerlukan.
Malah beliau turut meluahkan rasa syukur kerana sumbangan yang diterima pihaknya tidak pernah putus.
“Ia langsung tidak melunturkan semangat saya. Yang persoal dan pertikai itu hanyalah seorang, sedangkan yang menyokong itu ada 99 orang.
“Bila diteliti di laman komen, semestinya terlalu ramai yang berdiri di belakang saya. Mereka tetap menaruh kepercayaan kerana tahu apa yang kita buat.
“Perkara ini tidak menjejaskan atau membuatkan saya kecewa. Bagi saya, ia adalah perkara biasa… asam garam. Selagi mana ada yang menyumbang, perkara baik ini akan kita teruskan,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih kepada netizen serta rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan.
Meneliti laman komen, rata-ratanya memberikan semangat kepada aktivis tersebut agar meneruskan usaha mulianya dan tidak perlu mengendahkan ‘pihak’ yang negatif.
“Mereka tu semua manusia b*d*h yang hanya tahu mencari salah orang lain. Kalau tak nak menderma membantu tak payahlah mengata kerja ikhlas orang lain.
“Takkan Uncle Kentang nak interview dulu semua individu yang menderma itu. Pakailah otak.
“Uncle sabar banyak, kalau kita berbuat baik ni banyak halangannya. Saya harap uncle diberikan kesihatan yang baik, semoga boleh terus membantu sesama manusia,” demikian antara komen yang dilontarkan netizen.