Kerajaan tak dengar keluhan rakyat berkait isu had operasi kedai makan, kata Anwar
Tindakan kerajaan yang menghadkan aktiviti kedai makan dan penjaja sehingga pukul 8 malam bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) disifatkan sebagai tidak mendengar keluhan rakyat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan itu juga memperlihatkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak peka akan nasib rakyat, khususnya kumpulan yang terjejas pendapatan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden PKR mengingatkan kerajaan agar lebih peka dengan kebajikan dan keluhan rakyat yang terjejas susulan pelaksanaan perintah berkenaan.
“Seperti gerai makanan ini sudah riuh-rendah di seluruh negara (yang diarahkan) tutup jam 8, sedangkan waktu ini orang balik kerja (dan) masa itu mahu beli makanan.
“Ini jelas menunjukkan perancangan yang dibuat tidak ambil kira pandangan akar umbi dan keluhan rakyat,” katanya dalam sidang media menerusi Facebook live di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, tindakan kerajaan yang menggantung Parlimen seolah-olah menyekat suara ahli Parlimen dalam menbawa suara rakyat.
“Oleh kerana kami ahli Parlimen, kami merasakan perlu mengemukakan kepada rakyat mengenai penyelesaian (beberapa isu).
“Sehubungan itu, ruang kepada kami sebagai ahli Parlimen perlu diberikan untuk menyegerakan perubahan agar dapat melaksanakan program tertentu khususnya melibatkan usaha menangani COVID-19 secara lebih berkesan,” katanya lagi. – AA