Hantar Najib pulang, KKM dibidas biarkan UMNO langgar SOP

Hantar Najib pulang, KKM dibidas biarkan UMNO langgar SOP

Tindakan masih boleh dikenakan ke atas parti politik atau pemimpinnya yang menjalankan kempen di Melaka walau apa pun nama yang diberikan untuk program tersebut, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut jurucakap KKM, pegawai kementerian itu sedang memantau setiap aktiviti yang diadakan menjelang pilihan raya yang dijadual berlangsung pada 20 Nov ini.

“Sama ada sesuatu program atau acara itu diumumkan ada berkaitan dengan pilihan raya atau tidak, tindakan masih boleh diambil jika terdapat tanda-tanda aktiviti itu berkaitan dengan pilihan raya,” katanya kepada Malaysiakini.

Jurucakap terbabit ditanya pandangan KKM mengenai sesetengah ahli politik yang membuat kunjungan dan aktiviti di Melaka walaupun kerajaan mengenakan larangan ke atas sebarang aktiviti PRN.

ADS

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan PRN Melaka selepas dewan undangan negerinya dibubarkan baru-baru ini ekoran ketua menteri, Sulaiman Md Ali kehilangan sokongan majoriti.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 8 Nov, manakala hari mengundi 12 hari kemudian. Tarikh mengundi awal pula ialah pada 16 Nov.

Pada 24 Okt lalu KKM mengumumkan larangan mengadakan sebarang perhimpunan fizikal dan majlis sosial yang berkaitan dengan PRN berkenaan berkuat kuasa dari 25 Okt sehingga 29 Nov.

Larangan itu termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya mana-mana parti.

Namun di sebalik larangan berkenaan – yang dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, beberapa pemimpin politik dilihat mengadakan pertemuan dengan orang ramai yang memang biasa dilakukan menjelang sesuatu pilihan raya.

Ada peluang bergambar bersama

Antara mereka ialah Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin, serta Ahli Parlimen Pekan Najib Razak. Kedua-dua mereka ialah bekas perdana menteri dengan masing-masing dari PN dan BN.

Berdasarkan hantaran di media sosial, mereka dilihat hadir dalam program membabitkan pertemuan dengan orang awam secara bersemuka.

Hari ini Najib menafikan dia berkempen apabila ditanya wartawan yang mengikutnya mengadakan lawatan ke perkampungan nelayan di Tanjung Kling.

“Saya datang ke sini semata-mata untuk bersantai saja. Ini tak boleh disifatkan sebagai kempen PRN,” katanya.

Tambah Najib kedatangannya ke situ adalah atas jemputan seorang pemimpin Umno setempat bagi melihat keadaan semasa di situ dan berdasarkan pemerhatiannya kawasan tersebut berpotensi untuk dibangunkan.

Kata Najib dia juga berpuas hati kerana sejak BN memerintah di Melaka para nelayan di situ mendapat banyak manfaat termasuk adanya kemudahan jeti, bot dan sebagainya.

“Ini semua menunjukkan dasar-dasar BN mengubah keadaan di sini,” katanya.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik di Facebook, Najib turut melawat pasar basah dan menikmati minuman di gerai pinggir pantai. Orang ramai pula mengambil peluang untuk untuk bergambar dengannya.

Pada hari sama Muhyiddin mengadakan lawatan ke dua Gerak Prihatin Rakyat yang menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga rendah kepada orang ramai.