Terkini!!! Kes bunuh Zulfarhan, nasib 18 tertuduh ditentukan pagi ini

Terkini!!! Kes bunuh Zulfarhan, nasib 18 tertuduh ditentukan pagi ini

Ibu dan bapa kepada Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain tiba di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 8.28 pagi tadi.

Memetik laporan Aatro Awani, Zulkarnain Idros yang ditemani isterinya Hawa Osman sempat berkata sesuatu kepada media sebelum memasuki bangunan mahkamah.

Mereka berdua mengenakan baju sama yang tertera perkataan antaranya “#justice4farhan”.

Ketika ditanya pemberita, mereka berkata hanya mahukan pembelaan terhadap kematian anak mereka Zulfarhan Osman.

“Saya ada buat sembahyang hajat dan sepanjang perjalanan saya baca surah Yasin.
“Semoga Allah permudahkan urusan kami sekeluarga dan Allah makbulkan doa kami supaya Allahyarham Zulfarhan Osman mendapat pembelaan yang sewajarnya,” kata ibu arwah, Hawa Osman.

Bapa Allahyarham, Zulkarnain pula berkata kes anaknya yang berlanjutan sehingga empat tahun membuatkannya mengalami sakit jantung kerana terlalu penat.

“Selama empat tahun saya ulang alik mahkamah. Kemudian dua tahun lalu saya mengalami sakit jantung oleh kerana terlampau penat,” ujarnya.

Nasib 18 penuntut UPNM yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain akan diketahui hari ini sama ada mereka didapati bersalah atas pertuduhan itu atau dibebaskan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah dijangka membacakan keputusan di akhir kes pembelaan pada 10 pagi pada Selasa.

Pada 8 April lepas, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 18 penuntut UPNM dan dua saksi lain iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM Muhammad Alif Farhan Aerosni pada prosiding membela diri yang bermula 2 Oktober 2019.

Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi,
Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

Allahyarham Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.