Isu ajar cara lolos ke Israel, PN perlu nyatakan pendirian terhadap Khai Ling

Isu ajar cara lolos ke Israel, PN perlu nyatakan pendirian terhadap Khai Ling

Gara-gara tular video mengajar cara lolos ke negara haram Israel menggunakan passport Malaysia, calon parti Gerakan mewakili Perikatan Nasional bagi DUN Kota Laksamana, Fong Khai Ling tiba-tiba berdepan masalah besar.

Graduan Kolej Universiti Nilai berusia 27 tahun itu terpaksa berdepan realiti selepas memilih untuk menceburkan diri secara aktif dalam dunia politik tanahair sehingga tercalon dalam PRN Melaka baru-baru ini.

Selepas didesak, akhirnya dia tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung tindakannya sebelum ini seolah-olah mengajar rakyat di negara ini untuk lolos ke Israel menggunakan pasport Malaysia.

Dia mendedahkan tidak mempunyai niat untuk mencabar undang-undang apatah lagi mengajar rakyat di negara ini untuk berbuat demikian.

“Saya tiada niat untuk mencabar undang-undang Malaysia yang telah menetapkan negara Israel tidak boleh dilawati oleh rakyat negara ini.

“Saya memahami tiada hubungan diplomatik antara negara Malaysia dan Israel,” katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilaporkan portal akhbar MalaysiaGazette.

Tambahnya lagi, dia sendiri tidak berniat untuk mempersendakan pendirian umat Islam terhadap Israel.

“Seperti yang saya nyatakan dalam video yang tersebar, tindakan rakyat Malaysia melakukan lawatan ke Israel adalah menyalahi undang-undang,” katanya lagi.

Namun sehingga kini, PN sendiri masih berdiam diri dengan kejadian melibatkan calonnya ini. Tiada pendirian jelas dikeluarkan badan tertinggi PN bagi meredakan kemarahan ramai selepas tercetusnya isu ini.

Lebih memeranjatkan, parti Pas yang berkongsi gabungan di dalam PN turut membisu isu melibatkan sensitiviti umat Islam ini.

Sekian lama Pas begitu lantang menentang kezaliman terhadap pembantaian dan pencerobohan Israel ke atas tanah suci umat Islam di Palestin, namun berubah sebaliknya apabila melibatkan rakan gabungan mereka sendiri.

Rata-rata pengguna media sosial mulai muak dengan sikap hipokrit Pas yang selama ini berdegar-degar mengaku kononnya mereka satu-satunya parti yang memperjuangkan kedaulatan negara Palestin itu.

Sementara itu, pelbagai pihak mendesak pihak berkuasa menyiasat segera isu melibatkan Khai Ling itu. Sekalipun telah meminta maaf, ianya bukanlah tiket untuk melepaskan dirinya dari berdepan tuntutan undang-undang. Tambahan pula isu tersebut melibatkan ancaman keselamatan negara.