Lanjutkan tempoh luput vaksin, Khairy didakwa berbohong

Lanjutkan tempoh luput vaksin, Khairy didakwa berbohong

Negara digemparkan dengan satu kenyataan media dari KKM hari ini yang memaklumkan kebenaran perlanjutan tarikh luput vaksin Covid-19 dari tarikh luput asalnya.

Dalam perkongsian kenyataan media tersebut, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan permohonan variasi daripada syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. dan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd. berhubung pengemaskinian tempoh jangka hayat produk bagi vaksin COVID-19, Coronavac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dan Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection.

Pelanjutan tempoh jangka hayat produk telah diberikan berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan oleh pihak pengilang.

Meskipun diberi jaminan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bahawa lanjutan tempoh luput vaksin CoronaVac dan Cormirnaty daripada tarikh asal akan memanjangkan tempoh kestabilan dan keberkesanan produk dalam bebuli vaksin itu, namun ianya menimbulkan kerisauan dikalangan rakyat negara ini.

Kebimbangan itu hadir selepas janji yang di buat oleh Khairy pada 21 Oktober lepas bahawa kerajaan menjamin vaksin luput tempoh tidak akan berlaku.

Menurut laporan akhbar yang dipetik dari Utusan Malaysia, Khairy berkata kerajaan memberi jaminan telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan isu vaksin luput tempoh sama ada ia dihantar ke kawasan bandar atau kawasan pedalaman.

Tambahnya lagi, kesemua penghantaran vaksin berkenaan diiringi dan dikawal Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan proses penghantaran vaksin ke kawasan pedalaman berjalan lancar sebelum mencapai tarikh luputnya.

“Jadual penghantaran dan kuantiti dos yang dihantar ke pusat simpanan vaksin pula adalah berdasarkan keperluan negeri dengan mengambil kira kuantiti keperluan tersebut boleh dihabiskan sebelum tamat tempoh hayat vaksin.

“Semua pihak pengurusan fasiliti pusat pemberian vaksin (PPV) juga mengamalkan kaedah penggunaan vaksin berkonsepkan yang lebih dekat dengan tarikh luput dikeluarkan dahulu dan melaksanakan mobilisasi stok jika terdapat vaksin tidak dapat dihabiskan bagi mengelakkan pembaziran,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dibangkitkan Senator Datuk Paul Igai daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) yang bimbang sekiranya vaksin Covid-19 mencapai tarikh luput sebelum tiba ke destinasi yang dituju.

Vaksin Comirnaty keluaran syarikat keluaran Pfizer-BioNTech diuruskan oleh syarikat DHL yang merupakan peneraju global dalam industri logistik dari Jerman manakala vaksin AstraZeneca diuruskan Pharmaniaga Logistik dan vaksin Convedecia oleh DKSH Holdings (Malaysia) Berhad.

Julai lalu, terdapat dakwaan mengenai individu diberikan suntikan vaksin Covid-19 yang telah melepasi tarikh luput, bagaimanapun, Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menafikannya dan laporan yang dikeluarkan tidak benar.