PRN Melaka, satu analisa ringkas
BN secara sah ditabalkan menguasai semula tampuk kekuasaan mutlak di negeri Melaka usai Pilihanraya Negerinya semalam.
Dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi DIN yang dipertandingkan, BN berjaya membalas dendam kekalahannya pada PRU-14 di tangan PH. Malah kemenangan yang diperolehi mereka lebih bergaya apabila berjaya membenam kesemua calon PKR dan menewaskan DAP di kerusi kubu kuatnya.
MCA dan MIC, komponen utama BN yang berbelah bahagi sebelum ini samada setia bersama UMNO dalam gabungan itu selepas diumpan dengan beberapa keistimewaan untuk bersama-sama Perikatan Nasional (PN) juga membuat kejutan dengan memenangi 2+1 kerusi yang diperuntukkan.
Pilihanraya yang diadakan dalam norma baru yang mewajibkan parti-parti menuruti SOP ketat yang dikeluarkan KKM dan SPR ini ternyata berjaya mengekang pembangkang dari bergerak bebas berkempen secara fizikal terhadap pengundi.
Manakala BN yang mencengkam kukuh pengundi teras mereka selama ini, terutama pengundi saluran 1 ternyata mendapat suntikan baharu apabila pengundi muda terutama yang mengundi pertama kali dilaporkan memilih BN berbanding PH.
Pelbagai analisa ringkas telah dikeluarkan. Antara kejayaan BN memenangi kerusi 2/3 antaranya memberikan satu isyarat jelas bahawa rakyat mulai bosan dengan kerenah ahli politik melibatkan gabungan parti-parti komponen baharu seperti PH dan PN yang menyebabkan kecelaruan kepimpinan sesama mereka sehingga berlakunya adegan lompat melompat berlaku dengan berleluasa usai PRU-14 tempohari.
Maka dengan kemenangan ‘total’ daripada komponen parti BN yang terbukti teruji dengan sejarah panjang pilihanraya tanahair ini dilihat mampu mengekang fenomena ‘katak politik’ ini daripada berulang.
Ada juga berpendapat serangan ‘overkill’ yang dimainkan PH dan PN dalam isu pemberian rumah dan tanah bernilai RM100 juta terhadap Najib juga menjadi pencetus kepada undi simpati pengundi Melayu terutama pengundi atas pagar kepada BN.
Ternyata pasukan pemikir yang menguruskan Najib bijak bermain emosi rakyat yang termakan dengan sentimen mengembalikan semula hak kekuasaan Melayu selepas berjaya menjadikan DAP sebagai ‘punching beg’ dalam menghalalkan segala fitnah terhadap setiap undi yang bakal diberikan kepada PH nanti.
BN yang disokong dengan kewangan begitu ampuh sedari dulu seakan tidak begitu kisahkan ugutan KKM terhadap sebarang pelanggaran SOP ketika berkempen. Buktinya, BN adalah parti paling banyak menerima kompaun kesalahan pelanggaran SOP tersebut pada PRN Melaka ini.
Manakala bagi PH pula antara yang awal dibangkitkan sebagai alasan kekalahan pilihanraya adalah isu penggunaan logo PH dalam PRN ini, bukannya logo PKR yang terbukti berjaya menumbangkan BN dalam Pru-14 dahulu.
Malah, pimpinan PKR sendiri bermati-matian sehingga saat akhir cuba mempertahankan cadangan agar PH terus menggunakan logi keramat simbolik kepada mata Anwar itu.
Antara lain berlaku unsur sabotaj dalam kesatuan memilih calon Ketua Menteri Melaka mewakili PH.
Meskipun Majlis Presiden PH telah memutuskan nama Adly Zahari sebagai calon tunggal, namun terdapat percanggahan kenyataan daripada kepimpinan tertinggi PKR antaranya daripada MB Selangor, Amiruddin Shari dan pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul yang mahukan Samsul Iskandar turut diberi peluang.
Kenyataan-kenyataan yang tidak perlu seperti itu sedikit sebanyak terbukti menghakis keyakinan pengundi untuk memberikan undi kepada PH kerana bimbangkan peristiwa melompat parti berulang selepas ADUN kecewa tidak berjaya memperolehi apa yang diidamkan.
DAP juga gagal pertahankan 4 kerusi yang disandangnya selepas PRU-14. Ini dikaitkan dengan penolakan kaum tionghua terhadap keputusan PH menerima 2 katak menjadi calon PRN, satu menjadi calon PKR dan satu lagi menjadi calon Amanah.
Namun antara faktor yang lebih besar terhadap kekalahan tersebut ialah pulihnya keyakinan pengundi Cina terhadap MCA yang dilihat berjaya memperjuangkan isu-isu besar mutakhir ini melibatkan isu bantuan pendidikan kepada sekolah vernakular termasuk pengiktirafan sijil UEC dan mengekalkan nama arak Timah oleh kabinet baru-baru ini.
Akhir kalam, PH bakal menempuh jalan penuh ranjau dalam usaha cuba merampas kembali tampuk pemerintahan negeri Melaka daripada musuhnya. Ianya bersebab daripada pengasingan antara pilihanraya umum dan pilihanraya negeri. Ini antara kunci kejayaan BN bertahan sekian lama di Sarawak, yang kini bertukar menjadi GPS.
Di sini, disiarkan ulasan menarik PRN Melaka yang dikongsikan bekas pensyarah sains politik UTP. Muhaimin Sulam dalam FBnya.
Dondang Sayang Melaka
Dengan keputusan PRN Melaka, saya fikir PH harus ke jalur tradisional. PH jangan ghairah kepada politik yang ideal seperti dalam buku atau kuliah universiti. Saya sering skeptikal dengan politik progresif dan universalism. Bukan soal idea-idea itu tidak bagus.
Kerangka pemikiran masyarakat masih pemikiran yang terjajah (captive mind) dan sistem politik kita tiada prasarana untuk membuat perubahan secara massa. Para pemain dan penonton politik masih banyak lagi lidahnya bercabang-cabang dan bertelinga nipis. Apalah yang diharapkan kepada mereka?
Dalam kerangka masyarakat yang begitu, perlu difikirkan sentimen, psikik dan falsafah hidup masyarakat kebanyakan. Ini adalah soal taktikal politik. Apa masalahnya untuk kita mengangkat mushaf al Quran di hujung tombak untuk menghentikan peperangan? Pas sudah memecahkan ruyungnya. Sekarang mudah kerana sudah diteroka pendekatan itu.
Politik ideal, sejarahnya tidak banyak berakhir dengan kuasa di tangan. Ini bukan bermakna untuk membuang politik ideal. Perlu ada keseimbangan antara ideal dengan realiti. Politik ideal ini serahkan kepada sarjana di menara gading. Ahli politik, medannya adalah pentas politik.
Kemenangan BN adalah suatu romantisisme Melayu terhadap Umno yang kekal tradisionalis, konservatif dan feudal. Meski hanya pada kulit sahaja. Umumnya soal rasuah, ekonomi antarabangsa, penyelewengan kuasa dan perkara lain yang dibawa oleh PH bukanlah isu yang menyentuh perut masyarakat.
Pengundi bukan Melayu juga mula kembali kepada BN. Kemenangan MCA dan MIC memberi isyarat tersebut. Ini juga sebahagian unsur tradisionalis kepada para kapitalis yang mahu mengekalkan faedah ekonomi dan perniagaan mereka.
PN kalah teruk. Nasib baik tak ke laut. Apakah ini bermakna PN tidak tradisionalis, konservatif dan feudal? PN tidak cukup untuk memiliki semua itu. Dua batu nesan itu memadai untuk memberi nyawa kepada PN untuk bangkit kembali.
Kemenangan PH pada PRU14 disia-siakan kerana Langkah Sheraton telah benar-benar mematikan harapan golongan pro pembaharuan terhadap politik Malaysia. Ini kerana kemenangan PH itu adalah kemenangan jalur tradisionalis yang ingin pembaharuan dalam politik.
Sayangnya, jalur tradisionalis itu dirampas oleh jalur-jalur yang terlalu ghairah kepada idea-idea reformasi. Sayangnya begitulah. Buku terbaharu saya, ‘Menang dan Terbuang’ ada huraian lanjutnya. Lebih 30% kandungannya adalah soal ini.