Selepas setahun, Ketua Armada buat pusingan-U pertahan sekolah vernakular
Isu sekolah vernakular terus bergema di dalam parlimen hari ini. Isu ini dianggap senjata ampuh parti-parti berasaskan kaum, sama ada dari UMNO, Bersatu, Pas dan Putra termasuk NGO ultra Melayu, ISMA untuk terus mendapatkan sokongan bangsa Melayu khususnya menjelang pilihanraya.
Nada retorik pemimpin-pemimpin ini tidak pernah berhenti sedari dulu lagi. Masing-masing berlumba-lumba menunjukkan kejaguhan mereka menjuarai isu pengharaman sekolah tersebut meskipun diperakukan perlembagaan negara.
Terkini Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menyelar Ketua Armada parti Bersatu, Wan Ahmad Fayshal sebagai pembohong apabila memberikan jawapan berbeza dengan kenyataan awalnya berkenaan isu sekolah vernakular pada tahun lepas.
Akhbar Sinar Harian bertarikh 26 Ogos 2020 pernah melaporkan Wan Ahmad Fayhsal yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dalam kerajaan Perikatan Nasional menggesa sekolah vernakular perlu dimansuhkan secara berperingkat.
Dia berkata usaha berkenaan perlu menjadi keutamaan agenda nasional dan bukannya digunakan sebagai bahan politik untuk sekadar meraih undi.
Namun dalam sidang Dewan Rakyat ketika menjawab pertanyaan lisan ke 14 hari ini, dia menafikan dirinya mendesak agar sekolah-sekolah vernakular dimansuhkan atas kapasiti beliau sebagai timbalan menteri.
“Kenyataan yang saya keluarkan tahun lepas mengenai sekolah vernakluar adalah atas kapasiti sebagai Ketua Armada bukan sebagai Timbalan Menteri Perpaduan.
“Yang saya maksudkan disitu bukanlah mansuhkan tapi memantapkan Bahasa Melayu di sekolah vernakular”.
“Yang saya tekankan pada kenyataan itu adalah berhubung dengan perlunya ada satu usaha yang kukuh untuk memastikan sekolah vanilukar mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang boleh menghubungkan antara guru dan masyarakat,” jelasnya lagi seperti dilaporkan MalaysiaGazette.
Namun Ahli Parlimem Bukit Mertajam itu tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut.
“Ini jelas jawapan yang tidak benar, sebab timbalan menteri juga menyatakan supaya sekolah vanikular dimansuhkan. kalau nak tambah baik Bahasa Melayu, kita boleh tambah baik Bahasa Melayu bukan dengan memansuhkan sekolah vernakular.
“Timbalan menteri telah berikan satu jawapan yang tidak benar dan menyelewengkan dewan berkenaan dengan pendirian dan juga kenyataan beliau,” katanya pada sesi celahan di Dewan Rakyat pada soalan lisan, hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal sebelum ini juga didakwa pernah berbohong selepas tular video ucapannya bersedia memberikan surat sokongan sewaktu melobi undi perwakilan dalam pemilihan Ketua Armada.