Kes rogol pembantu rumah, Paul Yong diperintah bela diri

Kes rogol pembantu rumah, Paul Yong diperintah bela diri

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekali lagi menerima tamparan hebat selepas seorang ahli bersekutunya, Paul Yong yang juga ADUN Tronoh diarahkan membela diri oleh mahkamah atas tuduhan rogol.

Menurut akhbar MalaysiaGazette, Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Datuk Abdul Wahab Mohamed telah memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong membela diri atas pertuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia, dua tahun lepas apabila pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kesnya.

Mahkamah menetapkan 15 dan 16 Feb depan untuk Yong, 51, membela diri.

Yong didakwa merogol pembantu rumah berusia 23 tahun itu di sebuah bilik di tingkat atas rumahnya di Meru Desa Park, antara 8.15 malam hingga 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.

Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Yong, sahabat akrab Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dilaporkan menyertai Bersatu pada Mac tahun lepas selepas mengisytiharkan keluar daripada parti Dap dan menjadi ADUN Bebas.

Dia bersama-sama ADUN Buntong, Sivasubramaniam dan ADUN Titi Seromg, Hasnul Zulkarnain pernah menggemparkan politik negeri Perak apabila terlibat mengkhianati kerajaan PH dengan memberi sokongan kepada Perikatan Nasional selepas tumbangnya kerajaan persekutuan akibat Langkah Sheraton.