Selain MDEC, anak Shahrizat Jalil juga pegang dua lagi jawatan di PERKESO dan Talentcorp
Dewan Rakyat didedahkan bahawa pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh yang juga anak kepada bekas Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah berdasarkan merit.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa, bangun menjelaskan bahawa Kementerian Kewangan yang membuat lantikan tersebut, dan kementeriannya mengalu-alukan pelantikan itu.
“Pertama dari segi kelayakan jelas, beliau layak dan malah lebih layak.
“Saya nak jelaskan jawatan yang dilantik oleh Menteri Kewangan ini adalah jawatan bukan eksekutif, bermakna bukan duduk sepanjang masa di situ,” katanya kepada soalan dibangkitkan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) dan Tan Yee Kew (PH-Wangsa Maju) atas pelantikan anak Shahrizat itu.
Dalam pada itu, Annuar berkata Izzana juga masih muda dan berpendidikan tinggi dengan kelayakan dari Universiti Harvard dan Imperial College Business School.
Beliau berkata, Izzana mempunyai “track record” dan pengalamannya sendiri.
“Saya merasakan kita perlu adil. Jika kami sebagai ibu bapa menghadapi masalah, kami tidak mahu anak kami diganggu, dia ada kelebihannya,” kata Annuar.
Memetik laporan FMT, Kasthuri bagaimanapun membuat pendedahan mengejutkan ketika bangun mencelah dengan menyatakan selain MDEC, Izzana juga telah dilantik sebagai pengarah di TalentCorp dan ahli panel pelaburan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Jadi bagaimana budak muda ini dapat menjalankan tanggungjawabnya di MDEC, kerana dia juga turut terlibat dalam 2 lagi tugas penting yang lain, soal Kashturi lagi.
“Terdapat ramai graduan, bukan sahaja dari Harvard tetapi juga dari universiti tempatan yang mempunyai kelayakan sama atau lebih layak,” katanya sambil menggesa Annuar mencadangkan kepada Kementerian Kewangan untuk melantik orang lain.
Bagaimanapun, Annuar berkata ia adalah peranan bukan eksekutif dan dia tidak terlibat dalam operasi harian.
“Sebab itu ada yang memegang beberapa jawatan pengarah dan ia tidak menjadi masalah,” jelasnya.
Pelantikan Izzana turut dibantah peguam dan aktivis, dengan menyatakan kemungkinan berlaku pelanggaran etika.
Ia menimbulkan tanda tanya di media sosial kerana Izzana merupakan defendan dalam tuntutan mahkamah yang dilancarkan kerajaan terhadap keluarganya untuk menuntut semula hutang RM253.6 juta daripada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC).
Kes itu masih dalam perbicaraan dan dijangka disambung semula di mahkamah pada Januari.
Selain Izzana, individu lain terlibat dalam saman itu termasuk ibu bapanya Shahrizat dan Mohamad Salleh Ismail, serta adik-beradiknya, Wan Shahinur Izran dan Wan Shahinur Izmir.
Izzana telah disaman atas kapasitinya sebagai bekas Pengarah NFC.