Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah sahkan Azam Baki bersih
Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) telah membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki daripada sebarang salah laku berhubung pembelian saham syarikat, seperti dilaporkan portal akhabr FMT sebentar tadi.
Pada sidang media tengah hari tadi, Pengerusinya Abu Zahar Ujang berkata mereka telah meminta penjelasan daripada Azam berhubung perkara terbabit.
“Pembelian saham itu dilakukan dalam pasaran terbuka pada 2015 dan tidak ada konflik kepentingan,” katanya.
Zahar berkata, lembaga itu berpuas hati dengan penjelasan Azam dan mendapati tiada elemen konflik kepentingan.
“Malangnya, isu itu telah dibangkitkan oleh bekas anggota panel kami, Terence Gomez, ia mengejutkan saya,” katanya.
Zahar sekali lagi mengulangi bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang surat daripada Gomez berhubung perkara itu.
“Saya sentiasa terbuka untuk membincangkan (isu itu) dengan Terence kerana kita tidak akan bertolak ansur atau melindung sesiapa tanpa mengira jawatan.
“Saya berpandangan bahawa sebarang aduan mesti disertakan dengan bukti kukuh,” katanya.
Sebelum ini, dakwaan konflik kepentingan tercetus melibatkan Azam yang dikatakan memiliki saham syarikat awam. Ia dikatakan menyebabkan Gomez meletak jawatan daripada panel berkenaan kerana dilihat gagal membincangkan perkara berkenaan.
Dalam surat peletakan jawatannya, Gomez yang juga pakar ekonomi dan akademik berkata, perkara itu menimbulkan persoalan berkait “hubungan antara perniagaan dan pihak penguatkuasa”, dan situasi “konflik kepentingan” membabitkan ketua SPRM itu.
Zahar kemudian menyatakan tidak pernah menerima surat daripada Gomez berhubung dakwaan terhadap Azam itu.
Beliau turut dilaporkan berkata Gomez sepatutnya mengadu isu itu kepadanya atau membuat laporan polis supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.