Biadap!!! Duta Khas Malaysia ke China hina kelayakan Noor Hisham kawal Covid
Duta Khas kepada Ismail Sabri ke China, Tiong King Sing sekali lagi menyelar Hisham dengan mempertikai kelayakannya, malah mendakwa beliau sekadar pakar bedah dan bukan pakar kesihatan awam yang mampu menangani wabak.
Selepas dikecam kerana mengkritik Hisham dua tahun lalu, Tiong hari ini sekali lagi menyoal sama ada Hisham memang “orang terbaik untuk mengetuai perang terhadap Omicron”.
Kata Ahli Parlimen Bintulu itu lagi, orang ramai melihat kadar kematian akibat wabak rendah di China dan mempertikai kenapa Malaysia tidak mengguna pakai strategi seperti di negara itu, dedah laporan portal akhbar FMT hari ini.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin tampil mempertahankan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah selepas dikritik kelayakannya dalam menangani Covid-19 oleh seorang Ahli Parlimen Sarawak.
Khairy melalui hantaran di Twitter menyuarakan sokongan penuh terhadap Hisham dalam menjalankan tugasnya sebagai Ketua Pengarah Kesihatan.
“Hisham mendapat sokongan penuh daripada saya untuk menjalankan tugas sebagai KPK,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy tidak menafikan pendekatan diambil China dalam mengawal wabak Covid-19 berkesan.
Bagaimanapun, beliau berkata Malaysia tidak mampu melaksanakan strategi seperti China berikutan kekangan dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk “lockdown”.
“Tidak dinafikan pendekatan China berkesan. Namun strategi mereka iaitu ‘containment’ atau ‘zero Covid-19’ bermaksud ‘total lockdown’ bila ada hanya tiga kes positif.
“Malaysia tidak mampu dari segi ekonomi dan kebajikan rakyat untuk lockdown. Strategi kita ‘mitigation’,” katanya.
Khairy berkata, langkah kerajaan adalah dengan mengurus kes positif dengan berkesan, meningkatkan vaksinasi, menjaga SOP, selain penurunan dalam penggunaan ICU dan kemasukan ke hospital.