Pendakwah popular ini pelik perubahan sikap imam terlibat mandikan remaja seperti jenazah
SEORANG IMAM TUA, REMAJA DAN MANDI JENAZAH…
Pagi 1 Ramadan itu (lebih kurang 9 tahun yang lalu), jenazah ayah yang meninggal waktu dinihari itu mula hendak dimandikan.
Saya sebagai anak sulung lelaki bersama anak-anak dan beberapa orang anak saudara bersiap sedia untuk memandikan jenazah ayah tercinta.
“Mari anak-anak, kita mulakan. Yang afdal anak-anak dan cucu-cucu sendiri mandikan orang tuanya. Saya hanya memandu dan membantu saja ya…” kata Imam tua itu dengan lembut.
Imam mula mencurah air ke jenazah ayah yang kaku. Lembut dan perlahan-lahan. Sangat berhati-hati. Empati, seperti memandikan orang yang masih hidup.
“Ingat, bagaimana ayah memandikan kita dulu. Penuh kasih sayang,” pesan Imam itu. Lembut suaranya mengingatkan.
Saya melihat jenazah ayah. Sayu. Kuku kaki dan tangan ayah bersih. Terpotong rapi dan pendek. Ayah sangat pembersih orangnya. Ayah semasa hidupnya selalu berpesan, “kebersihan diri kita terletak pada dua, kuku dan gigi. Kuku mesti selalu pendek. Gigi mesti selalu digosok.” Itulah kebiasaan ayah sehinggalah ke saat ini – saat jenazahnya dimandikan.
Imam tua itu tidak “berlepas tangan”. Dia sentiasa disisi kami memastikan proses memandikan jenazah itu berjalan lancar.
Itu bukan kali pertama saya memandikan jenazah. Sudah banyak kali. Tetapi Imam masjid yang mengetuai mandi jenazah ini punya satu ketelitian.
Beliau sangat menjaga aurat jenazah.
“Hati-hati anak-anak, jaga aurat ayah.”
Begitu ingatannya sepanjang kami memandikan jenazah ayah sehingga selesai.
Sifat cakna tentang aurat jenazah, lemah-lembut dan berhati-hati semasa memandikan jenazah ini suatu yang sangat mulia. Ini sepatutnya ada pada setiap pemandi jenazah.
Saya masih ingat kata-kata pelakon Nasir Bilal Khan, (sewaktu kami berbual di RTM semasa saya jadi pengacara satu program Islam suatu masa dulu). Saya masih ingat dialog yang menyentuh hati.
Dan saya telah pun memuat kisah itu dalam buku saya NOTA HATI SEORANG LELAKI.
Katanya, “kebaikan yang paling ikhlas ialah kebaikan kepada orang yang mati sewaktu pengurusan jenazahnya.”
Ketika saya bertanya, “kenapa?”
Beliau dengan tenang menjawab, “sebab orang yang telah mati tidak mampu lagi membalas kebaikan itu. Dan antara sifat amal yang ikhlas ialah tidak mengharapkan balasan…”
Sifat itulah yang saya lihat pada imam tua berkaca mata, kurus dan berpakaian sederhana itu. Jelas, dia melaksanakan tugas lebih daripada apa yang diterimanya. Dia ‘memberi’ bukan untuk menerima.
Sehingga dalam hati saya terdetik, “Jika saya meninggal dunia kelak, saya ingin biarlah imam tua inilah yang memandikan jenazah saya. Ingin sekali saya berwasiat begitu.”
Justeru, sebelum Subuh 15 Januari 2022 tadi, saya menyusur kembali masjid tempat Allahyarham ayah dimandikan 9 tahun yang lalu.
Walaupun agak jauh, saya gagahi jua. Destinasi saya : MASJID ISLAHIAH KUANG – lokasi berlakunya kontroversi imam memandikan remaja yang didapati mencuri tabung masjid.
Dan imamnya ialah imam yang sama. Ya, imam yang memandikan jenazah ayah saya. Itulah juga imam yang menjadi punca kontroversi sekarang ini.
Subuh tadi, imam muda masjid tersebut membacakan surah Al Buruj dan Al Balad dengan suara yang lunak dan lenggok lagu yang mendayu, hati sayu. Imam tua, tidak kelihatan.
Usai solat, saya mencari kelibat imam tua tersebut. Seperti mula-mula menjejaki kaki tadi, sosok tubuh yang saya cari tidak kelihatan. Di mana?
Sedih. Kedatangan saya untuk mencarinya. Memberi kata semangat kepada imam tua, yang tentulah telah banyak berbakti untuk ahli jemaah dan qariah.
Jangan kerana kesilapan atau kesalahan yang satu, kita melupakan kebaikannya yang beribu. Tentu jiwa tuanya terkesan jua oleh cemuhan, cercaan dan sindiran oleh viral medsos yang tersebar luas kini.
Mungkin rasa malu yang dialami oleh remaja yang dimandikan itu setara rasa malu imam tua yang diviralkan kesalahannya. Kita tidak tahu. Kita tidak rasa.
Kehadiran saya Subuh tadi, bukan untuk mengiyakan mahu pun membela apa yang beliau dan sahabat-sahabatnya telah lakukan untuk mencegah kemungkaran. Kesalahan tetap kesalahan.
Namun, sudi apalah kiranya, kita melihat dari sisi yang lain. Sisi yang lebih empati dan manusiawi – bukan sahaja buat imam yang memandikan, juga buat remaja yang dimandikan.
Mengapa imam tua yang begitu lemah lembut hatta kepada orang yang telah mati jadi tetapi bertukar menjadi begitu keras kepada orang yang masih hidup?
Apa yang bergolak dalam jiwanya waktu itu. Mengapa dia jadi tersalah dalam usahanya menegakkan kebenaran?
Mengapa remaja tergamak untuk mencuri tabung masjid? Tentu dia juga punya ‘perang’ tersendiri sehingga dia terjerumus melakukan jenayah di rumah Allah.
Antara tujuan didikan, hukuman, pengajaran dan sikap untuk memalukan… di mana titik seimbangnya? Apakah isu ini hanya setakat itu atau ia hanya satu ‘tip of the iceberg’ kepada ‘kebobrokkan’ masyarakat yang lebih menyeluruh?
Usai solat. Saya terus duduk mendengar kuliah Subuh yang berkisar kepada subjek bagaimana SYAITAN MENIPU MANUSIA. Bagaimana syaitan membelenggu manusia agar tidak solat Subuh – permulaan kepada semua kebaikan pada setiap hari. Syaitan memang menipu, tetapi kitalah yang membuka ruang untuk terus tertipu…
‘Pertembungan’ imam tua dengan remaja di medan media sosial yang ‘menggila’ ini sesungguhnya satu pertembungan nilai serta prinsip antara generasi dalam pelbagai dimensi.
Isu ini bukan lagi persoalan mereka…tetapi persoalan KITA. Ini bukan soal individu tetapi soal sistem yang melahirkan mata rantai kemungkaran yang berantai dan berangkai.
Satu kejahatan ada kesan domino pada satu kejahatan yang lain. Riba, rasuah, zina, monopoli harta, eksploitasi kuasa, obesisi harta, budaya hedonisme, telah melahirkan golongan yang tercicir dan terdampar di pinggiran…
Lalu para marhein bawahan yang terpinggir itu jualah yang akan terus dipersalahkan akibat pertembungan para kayangan di atasan.
Lalu hati kecil ini bertanya-tanya, mengapa tidak keberanian yang dimiliki imam tua itu dimiliki juga oleh para penguasa dan pemegang amanah negara?
Dan kenapa tidak ada hukuman yang boleh memalukan penjenayah rasuah seperti pencuri kecil yang dimandikan sebagai Sang jenazah?
Sumber – FB Pahrol Mohamad Juoi