Kegagalan PN tarik pelaburan: Masa untuk rakyat buka mata
1. Laporan terbaru UNCTAD mengenai kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam Malaysia lebih teruk berbanding negara-negara Asean lain menunjukkan Malaysia di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) gabungan parti Bersatu, Umno dan Pas tidak lagi menjadi destinasi pelaburan yang menarik di rantau Asia Tenggara. Negara terperangkap di tengah-tengah, kalah dengan Singapura dalam meraih pelaburan bernilai tinggi, dan juga kalah dengan Indonesia dan Vietnam dalam meraih pelaburan berteraskan “low-cost mass production”.
2. Namun begitu, kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dato’ Asyraf Wajdi Dusuki yang menggambarkan kegagalan menarik pelaburan asing ini bermula sejak pengambilan alihan kerajaan pusat oleh Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018 adalah tidak berasas dan mengelirukan. Hakikatnya, kepercayaan pelabur terhadap Malaysia mula merosot sejak meletusnya skandal 1MDB pada tahun 2015.
3. Buktinya, pelabur asing mula lari daripada Bursa Malaysia dan ini menyebabkan lebih RM19.5 bilion dana asing bersih meninggalkan pasaran ekuiti Malaysia pada tahun 2015. Ini adalah rekod kedua terburuk negara ketika mana Barisan Nasional (BN) memerintah. Rekod terburuk adalah di bawah Kerajaan PN tahun 2020 di mana RM25 bilion dana asing telah keluar.
4. Dari segi FDI pula, yang meliputi pembukaan kilang dan syarikat asing di Malaysia, nilai pelaburan bersih telah jatuh hampir RM7 bilion atau 14% pada tahun 2017 ketika BN memerintah di mana, kondisi pelaburan tempatan tidak lagi menjadi menarik bagi pelabur asing. Namun, kerajaan PN pula mencatatkan rekod terburuk dengan kejatuhan 68% kepada jumlah USD2.5 bilion.
5. Selepas PH mengambil alih pada tahun 2018, banyak langkah telah diambil untuk memulihkan prestasi pelaburan negara. Hasilnya, FDI diluluskan untuk tahun 2019 telah melonjak ke RM82.4 bilion iaitu paling tinggi dalam sejarah. Berbanding tahun 2017 bawah Kerajaan BN, FDI diluluskan hanyalah RM52.4 billion. Kerajaan PH juga telah berusaha membawa masuk lebih banyak pelaburan bernilai tinggi terutamanya dalam sektor teknologi dan telah memudahkan proses pelabur asing melabur di Malaysia.
6. Sekiranya kerajaan PH tidak jatuh akibat pengkhianatan, prestasi pelaburan negara hari ini sudah pastinya jauh lebih baik. Kegagalan PN menarik pelaburan seharusnya membuka mata rakyat bahawa PN hanya mementingkan agenda politik dan bukannya pembangunan negara. Justeru, Malaysia harus lebih agresif menarik pelaburan asing berkualiti tinggi dan berteraskan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam usaha memulihkan ekonomi negara dan kehidupan rakyat.
FAIZ FADZIL
2 Februari 2021