Larangan memakai songkok dan kopiah, Idris arah CEO TH selesaikan segera
Semalam, pengguna media sosial dikejutkan dengan satu perkongsian yang dibuat YB Mahfuz Omar mengenai satu memo dalaman yang dikeluarkan pihak TH Hotel terhadap kakitangannya.
Dalam hantaran FB Ahli Parlimen Pokok Sena itu, dia memuat naik arahan melarang kakitangan TH Hotel memakai songkok dan kopiah ketika bertugas kecuali ketika solat sahaja.
Memo yang ditandatangani Pengurus Hotel Kelana Jaya, Mohamad Nazrul Nazib itu dianggap sangat mengejutkan, setelah rakyat beragama Islam secara umumnya maklum penubuhan TH adalah sebagai badan dipertanggungjawabkan menguruskan ibadah haji rakyat Malaysia.
Tidak menunggu lama, Menteri Agama dalam responnya memaklumkan telahpun menghubungi CEO TH mengarahkannya menyelesaikan segera isu tersebut.
Ianya dilihat mencalarkan imej kerajaan Melayu Islam yang dijadikan justifikasi dalam merampas kerajaan di bawah pemerintahan PH melalui ‘Langkah Sheraton’ dahulu.
Ironinya arahan tersebut tidak pernah dikeluarkan sewaktu pemerintahan pH yang sering dimomok dengan usaha melemahkan Islam oleh DAP, antara wirid paling popular diamalkan Menteri Agama, Idris Ahmad sewaktu menjadi pembangkang dahulu.
Sementara itu, CEO TH dalam maklum balasnya menjelaskan kekeliruan terhadap memo yang dikeluarkan. Menurutnya, arahan tanpa maklum balas itu sekadar garis panduan umum, malah kakitangan hotel tersebut bebas memakai songkok atau kopiah selagi menepati ciri-ciri yang telah ditetapkan pengurusan hotel.
Dalam pada itu, wargamaya pro Pas menganggap arahan itu dilakukan oleh mereka yang kekal dilantik di zaman Mujahid Yusof Rawa sebagai menterinya.
Malah ada yang menganggap ianya cubaan pihak ‘berkiblatkan’ DAP mencalarkan imej Islam yang lebih baik di bawah pengurusan Idris Ahmad.