Khaled berkata, sudah hampir setahun berlaku sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama tetapi setakat ini tidak banyak tanda yang menunjukkan perkembangan.
Pada masa sama, katanya, semakin ramai rakyat yang kehilangan pendapatan dan sistem kesihatan awam semakin terhimpit.
“Seorang jeneral baru dengan strategi dan idea segar diperlukan untuk mengetuai pasukan rentas menteri, jabatan dan agensi untuk bertindak pantas terhadap wabak yang juga berubah pantas.
“Badan kesihatan dan perubatan kita kini semakin berdepan kesukaran. Banyak hospital dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 dan kapasiti kita sekarang sudah hampir mencecah had. Petugas barisan depan menggalas beban terlalu besar dengan bayaran yang kurang.
“Institusi perubatan kita boleh berdepan risiko untuk ‘runtuh’ jika kita terus ke depan tanpa pelan yang lebih mapan,” katanya dalam kenyataan.
Khaled yang merupakan bekas Menteri Besar Johor menegaskan gesaannya bukan bermaksud menggantikan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham dengan orang lain.
Menurutnya, kedudukan Noor Hisham sebagai Ketua Pengarah Kesihatan bermaksud dia turut perlu menangani pelbagai isu selain Covid-19.
“Pujian perlu diberikan kepada mereka yang berhak. Ketua Pengarah Kesihatan telah bekerja tanpa penat lelah untuk menyelamatkan negara.
“Bagaimanapun, keadaan sekarang telah berubah menjadi isu pelbagai aspek yang melangkaui bidang kuasanya.
“Tiba masanya untuk kita menanggapinya sebagai isu nasional, bukan lagi sekadar krisis kesihatan. Kementerian-kementerian tidak boleh lagi bekerja secara berasingan. Kita perlukan seorang ‘Czar’ baru untuk kaedah baru melawan Covid-19,” katanya lagi. – MK