Isu perebutan kerusi DUN Layang-Layang, Maszlee dinasihat jangan terlalu tamak

Isu perebutan kerusi DUN Layang-Layang, Maszlee dinasihat jangan terlalu tamak

Mahu pilih siapa? Itu yang berlegar dalam kalangan akar umbi penyokong Pakatan Harapan (PH) apabila muncul desas-desus berhubung ‘perebutan’ kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang antara DAP dan PKR, sejak beberapa hari lalu.

DAP ingin meletakkan si cantik manis mereka – Marina Ibrahim – yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, dan pada masa sama Anwar Ibrahim pula mahu meletakkan anak murid baharunya, Maszlee Malik, yang juga bekas Ahli Parlimen Bersatu dan kini menyertai PKR.

Maszlee yang dikatakan menjadi sandaran PH sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan AMANAH, DAP dan PKR itu menang majoriti PRN Johor sehingga kini belum bersuara mengenai kerusi yang hendak ditandinginya.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah, dilapor mengesahkan parti itu sedang menimbang untuk meletakkan Ahli Parlimen Simpang Renggam sebagai calon di Layang-Layang kerana kerusi itu adalah salah satu daripada dua DUN di bawah Parlimen berkenaan.

Namun, tidak boleh diketepikan kemunculan Marina berusia 35 tahun yang ibarat selebriti itu mampu menarik pengundi, khususnya golongan muda seawal 18 tahun, walaupun orang Melayu tidak serius menyokong DAP.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kerusi DUN Layang-Layang dimenangi calon BN, Onn Hafiz Ghazi dengan majoriti 364 undi mengalahkan calon PKR dan PAS.

PKR ketika itu meletakkan Murugan Muthu Samy memperoleh 7,085 undi, dan Mohd Jubri Selamat (PAS) mendapat 1,339 undi, manakala Onn sendiri sebanyak 7,449 undi.

Bagi PRN Johor tidak lama lagi, DAP akan bertanding 16 kerusi, berbanding 14 yang ditandingi pada PRU14 yang kesemuanya mereka menang.

Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali walaupun enggan mendedahkan dua kerusi tambahan itu, tidak menolak kemungkinan parti berkenaan akan mengetengahkan lebih ramai calon muda pada PRN Johor.

“DAP akan meletakkan lebih banyak calon muda sejajar hasrat itu yang mahu mengetengahkan idea dan nafas baharu dalam tampuk kepimpinan kerajaan negeri Johor.

“Sama ada muka baharu, calon sedia ada kekal atau berpindah kawasan masih dalam perbincangan. Perkara ini akan diputuskan di peringkat jawatankuasa sebelum diputuskan oleh kepimpinan parti.

“Mungkin ada kita meletakkan lebih ramai calon Melayu dan calon muda sejajar nafas baharu politik negara dengan pelaksanaan Undi18. Namun tunggu dahulu pengumuman oleh kepimpinan parti,” katanya seperti dilapor Utusan.

Sumber – AgendaDaily