Peguam Negara dicabar buka semula kes dadah libatkan anak lelaki taikun judi, Vincent Tan
Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dicabar menyemak semula kes melibatkan anak lelaki kepada taikun Judi terkenal negara, Tan Sri Vincent Tan.
Ini susulan pendedahan laman twitter menggunakan akaun @EdisiKhas mengenai campur tangan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam isu kes pemilikan sejumlah besar pokok ganja di kediaman mewah anak lelaki taikun judi tersebut.
Repot @PDRMsia kes dadah anak Tan Sri Vincent bernama Nevin Tan, tanam berpuluh pokok ganja di dlm kondo. Polis cadangkan kes ini dituduh bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya tapi AG ketika itu iaitu Tommy Thomas arahkan supaya kes ini NFA (tutup). pic.twitter.com/atvCGp6HN1
— Edisi Khas (@ES_EdisiKhas) February 18, 2022
Sementara itu, Tommy Thomas membidas dakwaan bahawa beliau bertindak secara korup semasa berkhidmat sebagai Peguam Negara dalam kes anak hartawan Vincent Tan, yang ditahan atas kesalahan dadah.
Menurut portal FMT, Thomas berkata, seperti lazimnya dalam hal jenayah, peguam tertuduh mengemukakan representasi bertulis kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menimbang semula keputusan mengenakan tuduhan.
“Setelah mengkaji representasi dan kertas siasatan, menyemak peruntukan berkaitan dan perbincangan dengan pegawai kes, saya ingat (saya) mengurangkan pertuduhan.
“Menerima representasi daripada peguam dan tertuduh, dan mengurangkan atau menggugurkan tuduhan susulan itu adalah perkara biasa di AGC.
“Saya tidak mempunyai akses kepada mana-mana dokumen, rekod atau fail yang dikendalikan oleh mereka yang menyediakan kertas siasatan,” katanya sambil menambah, beliau tidak dapat memberikan sebarang butiran lanjut mengenai kes itu.
Ini susulan akaun Twitter Edisi Siasat, yang baru-baru ini menukar namanya kepada Edisi Khas, mendakwa walaupun anak lelaki Tan ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya kerana terlibat dengan kuantiti dadah sangat besar, Thomas mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
Thomas berkata, dakwaan bahawa beliau korup dalam konteks hantaran itu membawa maksud dia menerima rasuah.
Katanya, sepanjang kerjaya profesionalnya dan secara peribadi, beliau tidak pernah memberi rasuah, dan sebagai penjawat awam, tidak pernah menerima rasuah.
“Integriti, kejujuran dan kebenaran adalah nilai yang berharga bagi saya. Malah, ia tidak boleh digugat, saya tidak pernah berkompromi mengenainya. Saya dengan keras menafikan tuduhan bahawa saya menerima rasuah ketika membuat keputusan ini,” katanya.
Katanya, dia tidak pernah mengenali Tan sebelum menjadi Peguam Negara, dan tidak pernah bertindak bagi pihak hartawan itu atau mana-mana syarikatnya.
Menurutnya, dia juga tidak pernah mewakili Tan sejak kembali menjadi pengamal undang-undang selepas tidak lagi menjadi Peguam Negara.
“Masa dan kekejian serangan ke atas integriti saya ini berkait dengan perbicaraan (1MDB) Roger Ng yang baru bermula di New York, membabitkan penyelewengan dana milik Malaysia.
“Ahli politik dan tokoh kita akan ditampilkan ketika keterangan dibentangkan pada perbicaraan, yang menerima liputan media di seluruh dunia. Berdasarkan latar belakang ini, saya adalah sasaran dan lencongan yang mudah,” katanya.