Mahkamah Tinggi batalkan perintah larangan terhadap buku ‘Gay Is ok’
Penerbit dan penulis menang dalam tuntutan di Mahkamah Tinggi di sini untuk membatalkan larangan kerajaan terhadap buku mereka, “Gay is OK! A Christian Perspective”.
Hakim Noorin Badaruddin membenarkan semakan kehakiman Gerakbudaya Chong Ton Sin dan penulis, Ngeo Boon Lin hari ini.
Kementerian Dalam Negeri pada 2020 telah mengharamkan buku itu mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan atas alasan ia dianggap sebagai penerbitan yang tidak diingini. Buku itu diterbitkan pada tahun 2013.
Dalam keputusannya, Noorin berkata kerajaan “gagal menunjukkan bukti prejudis sebenar terhadap ketenteraman awam yang telah berlaku”.
Dalam keadaan sedemikian, katanya, buku itu “tidak mungkin menjejaskan ketenteraman awam”.
Menurut laporan FMT, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin sebelum ini mengesahkan afidavit untuk mencabar semakan kehakiman oleh Chong dan Ngeo, mendakwa buku itu mempunyai kecenderungan untuk menghasut rakyat mengadakan bantahan besar-besaran dan seterusnya mencetuskan huru-hara.
Hakim juga berkata, Chong dan Ngeo tidak pernah diberi hak untuk didengar oleh kerajaan untuk menangkis dakwaan terhadap mereka.
“Seseorang pembuat keputusan yang membuat keputusan tidak konsisten dengan jangkaan yang sah, dan orang yang terjejas oleh keputusan tersebut harus diberikan keadilan prosedur dan peluang mencukupi untuk membentangkan kesnya terhadap keputusan itu.
“Dalam hal ini, disebabkan buku itu – sekali lagi saya mesti tegaskan – telah diedarkan sejak sekian lama, mahkamah berpendapat bahawa ada kewajipan di pihak menteri untuk memberi alasan di atas keputusannya, lebih-lebih lagi dalam perkara di mana kebebasan bersuara disekat dan prinsip keadilan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dicabuli,” katanya.
Mahkamah juga memerintahkan kos RM5,000 dibayar kepada Chong dan Ngeo, yang diwakili peguam Edmund Bon dan Michael Cheah manakala Peguam Persekutuan, Sallehuddin Md Ali hadir mewakili Kementerian Dalam Negeri.