Hakim tolak saman ‘sial’ Tajuddin

Hakim tolak saman ‘sial’ Tajuddin

Mahkamah Tinggi menolak tuntutan Ahli Parlimen Pasir Salak, Tajuddin Abdul Rahman terhadap Khalid Samad dan dua syarikat media berhubung gelaran “sial” yang disebut dalam kenyataan pemimpin Amanah itu.

Tajuddin menyaman Khalid, KiniTV dan New Straits Times Press Bhd (NSTP) berhubung kenyataan yang dibuat pada 2016, dengan Ahli Parlimen Shah Alam menggelarkan beliau “sial” selepas pemimpin Umno itu berkata, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok adalah “the only woman with a ‘cock’…”.

Pesuruhjaya Kehakiman, Latifah Mohd Tahar berkata, komen Khalid terhadap kenyataan Tajuddin tidak bersifat fitnah, sebaliknya dengan justifikasi dan berpatutan.

“Tuntutan plaintif (Tajuddin) terhadap semua defendan (Khalid dan media) adalah ditolak dan mengambil kira kepentingan awam tiada kos diberikan,” katanya seperti dilaporkan portal FMT.

Tajuddin menyifatkan komen Khalid sebagai fitnah, manakala dua media terbabit pula disaman kerana menerbitkan kenyataan itu.

Mahkamah bagaimanapun berpandangan kontroversi dalam kes itu bermula dari “ucapan seksis” Tajuddin dalam prosiding Parlimen terhadap Kok, yang disifatkan sebagai “tidak wajar” dan “mencemarkan institusi Parlimen”.

Dalam dapatannya Latifah berkata, Tajuddin tiada keperluan untuk mengungkapkan perkataan kesat terhadap Kok.

“Pada masa itu tiada timbul apa-apa provokasi dan tiada kena mengena dengan persoalan yang sedang diperbahaskan ketika itu,” katanya.

“Perkataan ‘sial’ yang digunakan oleh defendan pertama (Khalid) adalah berakibat daripada provokasi oleh pihak plaintif sendiri.”

Tajuddin diwakili Hasnal Rezua Merican manakala SN Nair tampil bagi pihak Khalid. Rueben Mathiavaranam dan K Shanmuga masing-masing mewakili NSTP dan KiniTV.