Sadis!!! Gadis OKU beranak di tandas

Sadis!!! Gadis OKU beranak di tandas

Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) yang disyaki menjadi mangsa dirogol melahirkan bayi lelaki dalam tandas rumahnya di Kampung Cherang Ruku, di sini, Selasa lalu.

Mangsa merupakan OKU masalah pertuturan berusia 18 tahun disedari melahirkan bayi oleh ibunya yang berusia 36 tahun, kira-kira pukul 10.40 malam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, ibu saudara mangsa membuat laporan di Balai Polis Cherang Ruku, mewakili ibu dan bapa gadis itu yang sedang menjalani kuarantin kerana disahkan positif Covid-19.

“Ibu mangsa memberitahu dia tidak mengetahui anak sulungnya itu hamil kerana tiada perubahan fizikal yang ketara kecuali sedikit berisi, malah mangsa tidak pernah mengadu sebarang masalah.

“Gadis itu disedari melahirkan bayi lelaki dengan kepala anaknya itu berada di dalam lubang tandas dan sempat diselamatkan oleh ibu mangsa yang melihat kejadian,” katanya seperti dilaporkan portal Utusan Malaysia.

Muhamad Zaki berkata, bapa mangsa kemudian membawa bayi berkenaan ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku untuk rawatan lanjut.

Katanya, ibunya memaklumkan mangsa sebelum ini tidak pernah keluar rumah melainkan ditemani bapanya.

“Namun pada Mei tahun lalu, mangsa ditinggalkan bersama adik beradiknya di dalam rumah kerana ibu dan bapanya keluar untuk menerima bantuan zakat di masjid.

“Semasa pulang ke rumah, ibunya hairan mendapati mangsa berada di luar rumah dengan pintu terbuka, sedangkan gadis itu tidak pandai membuka pintu sendiri. Mangsa mungkin dirogol ketika kejadian itu.

“Polis sedang membuat siasatan lanjut dan setakat ini kita belum mengenal pasti suspek kerana mangsa seorang OKU yang mempunyai masalah pertuturan,” katanya.

Gadis itu dan bayinya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan kedua-duanya dilaporkan stabil manakala siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.