Kerajaan bersedia ratifikasi ICERD, tegas Menteri Luar

Kerajaan bersedia ratifikasi ICERD, tegas Menteri Luar

Bagi memastikan rakyat Malaysia memahami sembilan instrumen teras hak asasi manusia serta Statut Rom, Kementerian Luar telah bekerjasama dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (OHCHR) untuk menterjemahkannya kepada Bahasa Melayu.

Ini didedahkan oleh Menteri Luar Saifuddin Abdullah hari ini ketika menjawab soalan Kasthuri Patto (PH-Batu Kawan) di Dewan Rakyat.

Saifuddin berkata, usaha ini bertujuan memberikan pemahaman yang tepat kepada rakyat dan pemegang taruh tentang kewajipan dan tanggungjawab negara serta implikasi “jika Malaysia menyertai dan meratifikasi setiap triti itu”.

“Inisiatif tersebut juga adalah komitmen yang diberikan Malaysia semasa proses melobi keanggotaan dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) bagi penggal 2022–2024,” katanya dalam jawapan bertulis.

Kasthuri bertanya bila kerajaan akan meratifikasi konvensyen hak asasi manusia seperti Statut Rom, Protokol Pilihan Kedua kepada Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, Konvensyen PBB Menentang Penyeksaan dan pindaan kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak.

Saifuddin berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk meratifikasi mana-mana instrumen “selagi ia menyumbang ke arah keselarasan negara dengan undang-undang antarabangsa”.

“Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini mengenai soalan penyertaan semula Malaysia ke Statut Rom, kerajaan akan terus mengkaji perkara ini secara menyeluruh, termasuk melalui perbincangan berterusan dengan semua pemegang taruh sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Di sini saya ingin tekankan bahawa pihak kerajaan akan sentiasa prihatin dengan mendengar, menghormati dan tidak membelakangkan pandangan rakyat dan pemegang taruh yang lain dalam hal menyertai dan meratifikasi sebarang instrumen antarabangsa.

“Pendekatan yang teliti dan menyeluruh sebegini adalah penting bagi memastikan peruntukan-peruntukan di bawah instrumen antarabangsa tersebut adalah selaras dan tidak bercanggah dengan undang-undang domestik sedia ada,” katanya.

Statut Rom adalah perjanjian antarabangsa yang mewujudkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan berfungsi melengkapkan undang-undang sedia ada di sesebuah negara bagi mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa seperti pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan jenayah pencerobohan.

Pada 2019, Malaysia menarik diri daripada meratifikasi statut itu berikutan kebimbangan ia akan menjejaskan perlembagaan persekutuan berhubung Raja berperlembagaan, hak orang Melayu dan kesucian agama Islam di negara ini.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Jemaah Menteri memutuskan untuk menarik diri adalah disebabkan kekeliruan, bukan kerana ia memudaratkan negara.