Mesyuarat Bersatu, ketiadaan Zuraida undang tanda tanya
Grand Ballroom di Glenmarie Hotel & Resort di sini menjadi tumpuan hari ini apabila berlangsung Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beberapa pemimpin dilihat tiba di pekarangan Grand Ballroom seperti Naib Presidennya, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin serta Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Turut kelihatan dalam mesyuarat yang bermula pada pukul 5 petang itu adalah, Setiausaha Agung yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Penerangan, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Selain itu, turut hadir adalah Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.
Terdahulu, pimpinan Perikatan Nasional (PN) difahamkan mengadakan mesyuarat tertutup bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen pada pukul 1 tengah hari tadi.
Mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan mengenai Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti yang dijangka dibentangkan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 April ini.