Akhirnya polis dedah kejadian sebenar 2 pemuda ditembak mati baru-baru ini
Dua penjenayah yang ditembak mati di Kampung Wakaf Beruas di sini kelmarin merupakan antara anggota sindiket pengedaran dadah terbesar di Terengganu sejak 10 tahun lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kedua-duanya yang dikenali sebagai Nuar Taman, 29, dan Pendi Buaya, 25, itu dikesan aktif mengedar dadah di daerah ini di samping Marang, Hulu Terengganu dan Besut termasuk di sekitar kawasan Felda.
Katanya, siasatan turut mendapati suspek yang merupakan penduduk tempatan masing-masing mempunyai lapan dan 11 rekod lampau berkaitan dadah.
“Kedua-duanya yang berasal dari Kuala Terengganu dan Marang itu diburu polis kerana menjadi suspek utama dalam kes tembak seorang lelaki di Kampung Pasir Tinggi di Hulu Terengganu pada 5 Mac lalu.
“Selain dikenali dalam kalangan penagih dadah di negeri ini, mereka turut bergiat aktif dalam kegiatan sama di Selangor,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.
Nuar Taman dan Pendi Buaya ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang di Kampung Wakaf Beruas, kira-kira pukul 11.30 pagi.
Mereka masing-masing ditembak di dalam kenderaan, Honda Civic berwarna kuning dan di sebuah rumah kosong berhampiran.
Sementara itu, Rohaimi berkata, polis turut merampas dua pucuk pistol jenis Revolver .38 dan beberapa butir peluru di samping 20 paket dadah disyaki syabu seberat lebih 1,000 gram dan 14 botol kecil heroin (67 gram).