Bukan sebarang kayu, JKR pertahan jambatan RM50 ribu

Bukan sebarang kayu, JKR pertahan jambatan RM50 ribu

Kos RM50,000 bagi pembinaan jeti di Kampung Mutap, Bekenu, Miri, yang baru-baru ini dipersoalkan di media sosial, telah mengambil kira banyak faktor seperti keadaan laluan jalan dan langkah keselamatan di sungai yang dipenuhi buaya.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata, kayu belian yang digunakan untuk membina jeti itu bernilai RM9,000 semeter padu, iaitu lebih rendah daripada harga pasaran.

“Dengan bajet RM50,000, JKR Sarawak berjaya mereka bentuk jeti sepanjang 15m dengan dua tangga,” katanya.

Warganet sebelum ini mempersoalkan projek jeti kayu itu yang dikatakan tidak sepadan dengan kosnya sebanyak RM50,000 dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Menurut kenyataan dimuat naik pagi ini, JKR Miri mengadakan lawatan tapak pada 21 Sept 2021 dan jeti keluli yang lebih mahal dicadangkan dibina memandangkan ia lebih teguh dan memakan ruang lebih kecil.

Cadangan itu ditolak oleh ketua kampung yang kemudiannya meminta jeti sepanjang 30m dibina yang lengkap dengan pondok.

Namun selepas diberitahu oleh JKR Miri bahawa permintaan itu tidak dapat dilaksanakan disebabkan kos terhad sebanyak RM50,000, beliau bersetuju dengan reka bentuk jeti yang bersesuaian dengan peruntukan tersebut.

“Ketua kampung turut memaklumkan bahawa sungai tersebut dipenuhi buaya dan kontraktor perlu mengambil langkah berjaga-jaga ketika kerja (pembinaan jeti) dijalankan,” menurut kenyataan itu.

“Kebimbangan lain termasuklah hakikat bahawa akses ke Kampung Mutap adalah melalui jalan ladang yang sukar dilalui.”

JKR turut memaklumkan bahawa susulan proses cabut undi pada 30 Nov 2021, kontrak dianugerahkan kepada Syarikat Bukit Balat pada 7 Mac 2022. Projek dijangka siap pada 6 Jun 2022.

“Projek berjaya disiapkan pada 6 April 2022 dan pemeriksaan tapak terakhir dilaksanakan bersama oleh JKR Miri, ketua kampung dan kontraktor,” katanya.

“Kerja yang dilaksanakan kontraktor dianggap memuaskan, jadi jeti kayu belian terbabit kemudiannya diserahkan kepada ketua kampung.”

JKR Sarawak sebelum ini memaklumkan bahawa projek itu dilaksanakan bawah inisiatif Projek Transformasi Luar Bandar bagi menggantikan jeti lama yang rosak dan tidak dapat digunakan lagi.