Pengeluaran Khas KWSP, Zafrul jamin selesaikan bayaran sebelum Aidilfitri ini
“Jangan risau kalau permohonan anda belum diluluskan dan penyaluran belum dibuat.
“Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah memberi komitmen, mereka akan berusaha menyelesaikan semua permohonan sebelum Aidilfitri,” kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau memberikan penjelasan itu selepas menerima banyak pertanyaan mengapa pengeluaran khas KWSP belum dimasukkan ke dalam akaun penerima.
Beliau menjelaskan, bukan semua permohonan pengeluaran khas KWSP dimasukkan ke akaun semua pemohon semalam, 18 April.
Sebaliknya, katanya, wang berkenaan akan dikreditkan secara berperingkat.
Tengku Zafrul berkata, KWSP sudah terima 5.3 juta permohonan dengan jumlah pengeluaran RM40.1 bilion.
“Ini satu jumlah yang sangat besar. Sukar untuk KWSP menyalurkan jumlah sebesar itu dalam masa yang singkat.
“Sejak saya umumkan pengeluaran khas KWSP yang akan mula dikreditkan secara berperingkat mulai 18 April, ramai tanya, YB dah 18 April ni, kenapa tak masuk duit dalam akaun saya lagi?
“Sejak awal lagi, KWSP sudah maklumkan penyaluran dibuat secara berperingkat.
“Sekarang pun sudah ada yang terima makluman KWSP mengenai status permohonan mereka,” jelasnya menerusi video kira-kira seminit 30 saat di FB, hari ini.
Beliau berkata, pemohon akan menerima wang mereka pada tarikh yang berlainan, dan bukan semuanya pada 18 April.
“Ada yang dapat 20 hari bulan, ada yang 21 hari bulan dan sebagainya.
“Saya harap Keluarga Malaysia yang terbabit dapat bersabar menunggu pengeluaran khas KWSP,” katanya.
Beliau juga berdoa semoga baki bulan Ramadan yang mulia ketika ini dapat dimanfaatkan dengan ibadah dan Aidilfitri kelak dapat disambut dengan lebih ceria.