Keceluparan speaker DUN Johor undang teguran mantan MB
Bekas menteri besar Johor Hasni Mohammad menegur Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru dilantik Mohd Puad Zarkashi,agar menumpukan usaha perkukuh kepercayaan rakyat kepada institusi demokrasi berbanding memainkan sentiman yang menghina pihak lain.
Ini selepas Puad pada Khamis menasihati Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor supaya menjaga perangai dan “ini dewan mulia bukan dewan sangkar beruk”.
“Speaker DUN Johor tidak seharusnya berkata demikian, meskipun sekadar untuk mengingat.
“Sebagai Speaker dan Ahli Dewan Negeri, seeloknya beliau memberikan jaminan serta mengutarakan pelan tindakan bagi memperkuat institusi demokrasi negeri dalam masa terdekat.
“Dalam konteks kedudukan beliau – reformasi politik, mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada institusi demokrasi serta ahli politik adalah lebih mustahak daripada memainkan sentimen ‘derogatory’ seperti itu,” kata Hasni di Facebook.
Ungkapan “sangkar beruk” digunakan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa titah baginda di DUN tahun lalu apabila mengingatkan ahlinya bahawa DUN bukanlah sangkar beruk.
Puad, yang merupakan Adun Rengit, tampil mengulangi nasihat itu selepas mengangkat sumpah sebagai speaker baru.
Pada PRN Johor bulan lepas yang menyaksikan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN, gabungan itu berkempen atas janji mengekalkan Hasni sebagai menteri besar.
Bagaimanapun, selepas memenangi pilihan raya, BN tidak dapat perkenan diraja untuk Hasni dilantik semula sebagai menteri besar.
Sebaliknya, Adun Machap Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru.
Onn Hafiz adalah cicit kepada pengasas Umno, Onn Jaafar.