Selepas dimalukan Anwar, Najib cabar Kit Siang debat pula

Selepas dimalukan Anwar, Najib cabar Kit Siang debat pula

Bekas perdana menteri, Najib Razak mencabar veteran DAP, Lim Kit Siang untuk berdebat dalam bahasa Inggeris.

Menyedari Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu kerap membuat kenyataan sinis terhadapnya, Najib mempersoalkan sama ada beliau benar-benar bersara daripada politik atau sebaliknya.

“Sekiranya bukan bersara, mau debat? Banyak yang saya nak tanya hang,” katanya di Facebook, sepertu dipetik portal FMT.

Najib turut menyenaraikan tuduhan Lim yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan beberapa individu dan kematian Teoh Beng Hock, bekas pembantu politik Exco Selangor dan Adun DAP Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah sebagai topik perbahasan yang dicadangkan.

Najib sebelum ini berkata, beliau bersedia berdebat dengan Lim pada 2019 tetapi kemudiannya ia dibatalkan.

Perang mulut ini adalah yang terbaharu selepas Najib menuduh Lim menghasut orang ramai dengan mempersoalkan sama ada Malaysia akan mengalami nasib yang sama seperti Sri Lanka, yang baru-baru ini dilanda kekacauan.

Beliau berkata, Lim tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian, sebaliknya menikmati kehidupan sebagai seorang pesara.

Lim kemudian memberitahu ahli Parlimen Pekan itu bahawa beliau telah bersara daripada “politik persaingan”, bukan politik secara keseluruhan.

Dalam satu kenyataan awal hari ini, Lim menafikan menyokong keganasan dalam membuat perbandingan antara Malaysia dan Sri Lanka.

Beliau menegaskan beliau hanya memberi amaran bahawa Malaysia harus belajar daripada pengalaman dari negara jirannya di Asia dan mengelakkan keadaan politik dan sosioekonominya daripada merosot.