Pecat Zuraida, Ismail abai amaran Zahid

Pecat Zuraida, Ismail abai amaran Zahid

Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin masih lagi anggota kabinet walaupun keluar Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM), kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Semua orang mempunyai pandangan yang berbeza-beza dalam soal ini. Tapi keputusan terakhir pada perdana menteri lah.

“Oleh kerana masih terlalu awal untuk saya buat keputusan kerana belum ada perjumpaan.

“Belum ada berbincang dan sebagainya. Saya tak komenlah apa tindakan seterusnya.

“Tunggu saya balik, saya panggil dia bincang. Kemudian baru saya boleh buat keputusan,” kata perdana menteri yang hadir Persidangan Nikkei ke-27 di Tokyo.

Susulan pengumuman Zuraida pada 26 Mei itu, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin berkata dia akan mengemukakan kepada perdana menteri dalam masa terdekat nama pengganti Zuraida untuk dilantik sebagai anggota kabinet.

Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan pula berkata kekosongan yang ditinggalkan Zuraida itu bakal diisi oleh pemimpin Bersatu.

Sementara itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula mengingatkan Ismail Sabri supaya tidak lagi berkompromi kepada pihak yang melompat dengan mengekalkan jawatannya dalam kabinet.

“Ia sebahagian tanda sokongan terhadap ketegasan menangani isu lompat parti kalangan wakil rakyat menjelang pelaksanaan undang-undang lompat,” kata Zahid.

Katanya, ramai lagi ahli parlimen yang setia terhadap parti dan tidak melompat parti wajar dipertimbangkan untuk mengisi jawatan menteri yang dipegang oleh Zuraida.

Menjelaskan lanjut, Ismail berkata Zuraida setakat ini “masih boleh menghadiri” mesyuarat kabinet pada Rabu depan.

“Sebab dia tidak meletak jawatan sebagai menteri kabinet dan saya pun tidak pecat dia sebagai menteri kabinet.

“Jadi dia masih lagi menteri kabinet,” kata perdana menteri.

Zuraida ketika membuat pengumuman keluar Bersatu bagaimanapun berkata dia akan tetap menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata dia akan bertemu Ismail Sabri tidak lama lagi untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri perusahaan, perladangan dan komoditi.

“Saya juga akan berbincang

tentang peranan dan hala tuju PBM demi mengukuhkan lagi kerajaan Keluarga Malaysia.

“Saya mempunyai keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan perdana menteri,” katanya pada 26 Mei lalu.