Tunaikan permintaan anak, Yasin nyanyi lagu ‘Bebaskan Aku’ dari telefon penjara

Tunaikan permintaan anak, Yasin nyanyi lagu ‘Bebaskan Aku’ dari telefon penjara

DENDANGAN lagu ‘Bebaskan Aku’ nyanyian Yasin Sulaiman yang kini sedang ditahan di Penjara Sungai Buloh sejak Mac lalu, meruntun hati ramai pihak selepas ia dimuat naik di Instagram.

Penyanyi dan komposer itu menyanyikan lagu tersebut disebalik tirai besi, atas permintaan anaknya Malaika, 14.

“Semasa lawatan ke penjara yang lepas, Malaika telah meminta ayahnya untuk menyanyikan lagu ini untuknya.

“Beberapa hari kemudian, kami meminta Yasin untuk menyanyikan semula lagu ini menerusi panggilan telefon supaya ia dapat direkodkan dan dihayati oleh semua,” tulisnya.

Video berdurasi 3 minit 45 saat itu dimuat naik oleh pihak keluarga Yasin menerusi akaun Instagram milik penyanyi itu, hari ini.

.
Menerusi hantaran video yang disertakan, dapat didengar Yasin yang terkenal dengan lagu ‘Mimpi Laila’ sedang menyanyikan lagu tersebut sepenuhnya sehingga habis.

Pada 31 Mac lalu, Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu.

Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.