Hina OKU : Selepas dikecam teruk warga maya, proksi mahasiswa Pas akhirnya mohon maaf
Selepas dihujani kecaman daripada pelbagai pihak, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Mohd Zofrie Zulhilmie memohon maaf atas tindakannya yang disifatkan menghina golongan orang kurang upaya (OKU).
Dalam satu video yang dimuat naik di akaun media sosial, Mohd Zofrie sendiri menunjukkan seorang rakannya yang meniru berjalan seperti OKU bagi mendapat tempat letak kereta OKU di sebuah masjid.
“Assalamualaikum dan salam Jumaat. Saya Mohd Zofrie ingin buat permohonan maaf secara terbuka untuk semua khususnya golongan OKU yang telah melihat video saya bersama rakan di parking (tempat letak kereta) seperti di dalam video.
“Tiada niat untuk saya memperkecilkan golongan kurang upaya dan sebagainya, saya khilaf dalam perbuatan saya,” ciapnya di Twitter hari ini.
Dia juga berjanji supaya lebih berhati-hati dengan segala tindakannya pada masa akan datang serta menegaskan bahawa perbuatannya itu tiada kena mengena dengan organisasi yang disertainya.
Sementara itu, pemuda DAP bahagian Damansara meluahkan kekecewaannya terhadap perbuatan Mohd Zofrie dan rakannya itu.
Ketua pemuda DAP Damansara dan juga Adun Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata fungsi petak tempat letak kereta OKU yang dilukis lebih besar daripada parkir kereta biasa kerana dikhaskan untuk kemudahan OKU.
“Ia memerlukan banyak pertimbangan, dari kelandaian tanah, penyediaan ‘ramp’ dan ‘railing’ untuk golongan pengguna kerusi roda, dan sebagainya, supaya hak golongan OKU untuk bebas menjalankan aktiviti harian, menjadi warga yang produktif, dan mendapat akses kepada perkhidmatan terpelihara.
“Kami percaya bahawa usaha yang dilakukan oleh pihak masjid, lain-lain pemilik premis dan juga pihak berkuasa tempatan untuk menyediakan kemudahan untuk golongan OKU tidak patut disia-siakan sebegitu dan disalah guna oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab malah mempersenda golongan OKU,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Video yang dimuat naik dalam Twitter Mohd Zofrie berbunyi: “Demi mendapatkan parking di masjid, maka salah seorang sahabat kami terpaksa dikorbankan untuk menjadi pelakon utama.”
Namun, kiriman itu telah dipadamkan selepas mendapat kecaman.
Selain itu, Mahasiswa Roket turut mengecam tindakan penghinaan terhadap OKU itu.
Sambil menyifatkan perbiatan tersebut sebagai keanak-anakan, Mahasiswa Roket turut menegur supaya menunjukkan sikap seorang pemimpin dan bukannya berjenaka dengan kekurangan orang lain.
“Sebagai gerakan mahasiswa, Gamis sepatutnya menunjukkan pemikiran dan tingkah laku yang lebih matang dan bukan mengambil kesempatan ke atas golongan OKU sebagai bahan gurauan atau cara untuk mendapat manfaat dalam apa-apa jua bentuk.
“Gamis sebagai wakil mahasiswa harus lebih prihatin, bukan bersikap naif dan kebudak-budakan terutamanya terhadap golongan OKU.
“Akhir sekali kepada presiden Gamis, tolong tunjukkan sikap seorang pemimpin yang boleh dijadikan tauladan. Jika anda tidak mampu, tidak usah bermimpi untuk memimpin,” katanya dalam satu kenyataan.
Sumber : Malaysiakini