Wargamaya bengang warga Indon diberi keistimewaan guna grup ‘whatsapp’ PM

Wargamaya bengang warga Indon diberi keistimewaan guna grup ‘whatsapp’ PM

Pengguna media sosial negara meluahkan rasa kesal dengan penularan isu memalukan melibatkan menantu Ismail Sabri berwarganegara Indonesia, Jovian Mandagie semalam.

Ia susulan dakwaan terbaru terhadap pereka fesyen terkenal itu menikmati keistimewaan selaku menantu kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Memetik laporan Malaysiakini, kontroversi terbaru itu menunjukkan Jovian mempunyai akses kepada setiausaha akhbar Ismail Sabri, Azmi Tarmizi.

Malam tadi, Azmi berkongsi jemputan untuk sidang media hari ini mengenai produk fesyen terbaru Jovian.

Bagaimanapun, platform yang Azmi pilih untuk berkongsi jemputan itu – kumpulan pemesejan WhatsApp yang dimaksudkan untuk wartawan menghubungi pihak perdana menteri – telah mendapat kritikan.

Seorang wartawan menyoal mengapa maklumat sedemikian dikongsi di situ, menyebabkan setiausaha akhbar itu keluar daripada kumpulan pemesejan tersebut.

Tangkap layar perbualan di grup Whatsapp itu tersebar ke media sosial dan mendapat kritikan daripada warga maya, termasuk Ahli Parlimen PKR Fahmi Fadzil.

Ramai warga maya yang menyindir slogan “Keluarga Malaysia” kerana menantunya didakwa mendapat keistimewaan.

Cubaan menghubungi Azmi untuk mendapatkan komen tidak berjaya.

Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan pejabat perdana menteri, Azmi cuma sekadar berbuat baik kepada Jovian kerana kedua-duanya berkawan.

“Azmi hanya memajukan mesej yang diterima daripada seorang rakan (Jovian). Dia memajukannya kepada pelbagai kumpulan (wartawan),” kata sumber itu.

Awal tahun ini, Fahmi menuntut penjelasan Ismail Sabri jika benar Jovian menjadi sebahagian daripada delegasi perdana menteri semasa lawatan rasmi ke Jepun.

Jovian, warga Indonesia, berkahwin dengan anak sulung Ismail Sabri, Nina Sabrina.