Pemuda UMNO N9 cuba berlakon sedih tangisi nasib Khairy
Pemuda UMNO Negeri Sembilan yakin dengan kepemimpinan tertinggi parti itu untuk meletakkan Khairy Jamaluddin bertanding di kerusi yang sesuai dan tepat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.
Ketuanya, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, berkata walaupun kerusi Parlimen Rembau yang disandang Menteri Kesihatan itu dikhabarkan akan ditandingi Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, namun kedudukan Khairy akan ditetap diberikan perhatian kepemimpinan tertinggi parti.
Katanya, ini kerana Khairy yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dan bekas Ketua Pemuda UMNO adalah antara pemimpin masa depan dan aset UMNO serta negara.
“Parti tidak akan ketepikan dia (Khairy) dan di Negeri Sembilan pula terdapat kerusi Parlimen yang UMNO tewas pada PRU-14 iaitu Tampin dan Kuala Pilah serta kerusi milik BN menerusi calon MIC iaitu Port Dickson.
“Namun, kita serahkan sepenuhnya kuasa itu (kedudukan kerusi Khairy) kepada Mohamad selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan merangkap Pengarah Pilihan Raya BN.
“Kita serahkan kepada pucuk pimpinan parti selaras dengan kenyataan Khairy semalam (kelmarin) yang menyatakan beliau akur dengan arahan parti untuk bertanding di mana-mana kerusi lain yang ditetapkan kepemimpinan tertinggi parti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan Khairy tidak akan bertanding di Parlimen Rembau pada PRU-15.
Keputusan itu dibuat selepas beliau diarah mengosongkan kerusi berkenaan oleh Mohamad yang mahu bertanding di Parlimen Rembau, selain mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang disandang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sejak 2004.
Khairy mengakui terpaksa akur dengan arahan itu walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik dan memberi khidmat di Rembau.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidy berkata, pihaknya yakin dengan kepemimpinan Mohamad bahawa Khairy akan ada tempat (kerusi) yang bagus pada pilihan raya nanti.
“Yakinlah, dia (Khairy) adalah aset UMNO dan pemimpin masa depan, jadi parti tidak akan mengetepikan beliau,” katanya yang dilaporkan Berita Harian.
Mengulas mengenai sama ada sesuai atau sebaliknya Khairy bertanding di luar dari Negeri Sembilan, beliau berkata, perkara itu bukan persoalan utama kerana sebelum ini ada kes seumpama itu berlaku.
Namun, katanya, setiap calon yang dipilih mewakili BN pada PRU-15 nanti perlu akur jika perkara sedemikian ditentukan kepemimpinan parti.
“Paling penting, pada pilihan raya itu nanti kita hendak memastikan kemenangan BN dan jika kalah, mungkin sukar untuk bangkit semula untuk mendapat tempat.
“Sebagai aset UMNO dan boleh memimpin kita di masa depan, Khairy perlu diberikan tempat (kerusi) yang sesuai dan jika dia tidak diberikan tempat (bertanding), UMNO akan rugi.
“Saya yakin Mohamad dan pucuk pimpinan parti akan berikan tempat (kerusi) yang baik untuk Khairy. Berilah kepercayaan kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan sewajarnya,” katanya.