Mantan CEO Tabung Haji hairan mengapa kerajaan masih tidak umum laporan RCI
Saya tak boleh perkenalkan diri saya sebagai Mantan CEO Tabung Haji?
Ada satu akaun di FB ni mempersoalkan mengapa saya diperkenalkan sebagai Mantan CEO Tabung Haji di dalam program-program awam yang saya sertai. Dia cadangkan supaya saya menggunakan jawatan-jawatan lain yang melibatkan saya.
Saya jawab bahawa saya bangga dengan apa yang telah saya lakukan dan capai di Tabung Haji (TH). Walaupun amanah dan tanggungjawabnya besar dan rumit, ianya amat bermakna kepada saya. Itulah sebabnya saya minta diperkenalkan dengan jawatan berkenaan.
Pemilik akaun tu tak puas hati. Dia kata ada banyak versi berkenaan apa yang telah terjadi di TH dan dia tidak percaya dengan versi saya.
Saya jawab, tak mengapa kerana saya telah memberikan keterangan berkenaan kerja-kerja saya kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) Tabung Haji yang dianggotai oleh tokoh-tokoh profesional yang bebas.
Oleh kerana saya tak tahu berkenaan kedudukan RCI ini, saya cadangkan kepada pemilik akaun FB itu supaya mendesak pihak-pihak yang dahulunya mendesak supaya RCI diadakan ke atas TH supaya bertanya kepada kerajaan akan status RCI ini.
Kita kena ingat di samping RCI TH, kerajaan juga mengumumkan 2 siasatan lain iaitu siasatan berkenaan kes Pulau Batu Putih dan juga siasatan ke atas buku yang ditulis oleh mantan Peguam Negara.
Hasil siasatan kes Pulau Batu Putih dan buku mantan Peguam Negara sudah pun siap dan dinyahklasifikasikan (declassification) serta disebarkan kepada umum. Setakat ini saya tidak maklum perkara yang sama dilakukan ke atas RCI Tabung Haji.
Saya kira, ini akan menamatkan segala polimik berkenaan institusi yang amat penting kepada umat Islam ini. Jadi, tak perlulah berbalah di media sosial lagi.
Saya ada rekod yang panjang dari segi perkhidmatan saya kepada negara. Ada yang sukarela, paksa rela dan bergaji. Bermula dengan sektor perakaunan, saya kemudiannya memasuki sektor pasaran modal dan seterusnya terlibat dengan sektor kewangan dan perbankan. Bolehlah semak rekod dan pencapaian saya di dalam sektor-sektor berkenan.
Di dalam banyak-banyak jawatan dan kedudukan yang pernah saya tanggung, mengemudi Tabung Haji adalah satu kedudukan yang paling sukar dan mencabar. Saya tahu apa yang saya telah capai di situ. Itulah sebabnya ianya amat bermakna kepada diri saya yang kecil ini.
Tabung Haji akan sentiasa dekat dengan hati saya ❤️❤️❤️
Sumber – FB Nik Hasyudeen