Parlimen tergantung, ini formula menang-menang yg dikongsi bekas peguam kanan

Parlimen tergantung, ini formula menang-menang yg dikongsi bekas peguam kanan

Tanpa disangka-sangka, keputusan PRU ke-15 kelmarin melahirkan fenomena hung parliament atau parlimen tergantung.

Ia berlaku kerana – selepas semua kerusi yang dipertandingkan selesai dikira – tidak ada mana-mana gabungan politik yang menjadi dominan. Sama ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) atau BN masing-masing gagal mencapai angka majoriti mudah iaitu 112 kerusi.

Boleh dikatakan ramai pihak yang menjangkakan akan kewujudan kerajaan campuran selepas PRU ke-15 dengan PH atau PN akan menjadi pemain utama.

Rakan kongsi yang ada pula ialah BN serta beberapa parti lain bagi mencukupkan bilang minimum untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Namun adakah itu sahaja pilihan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan?

Meskipun perlembagaan tidak secara spesifik menawarkan formula yang tuntas dalam keadaan hung parliament namun saya berpendapat wujud alternatif selain kerajaan yang didirikan atas keadaan simple majority (majoriti mudah).

Apakah alternatif tersebut?

Saya berpendapat alternatif yang boleh juga dikira viable ialah Yang di-Pertuan Agong membenarkan kerajaan minoriti didirikan.

Dalam konteks di peringkat persekutuan, saya bersetuju dengan pendapat Prof Shad Saleem Faruqi bahawa, dalam situasi sekarang mungkin Agong bukan hanya sekadar melihat dari sudut angka saja untuk melantik seorang perdana menteri.

Oleh kerana PH yang berada di kedudukan hadapan dari sudut pegangan kerusi – iaitu 82 – maka sewajarnya gabungan itu dibenarkan untuk membentuk kerajaan minoriti.

Ia adalah tidak salah – pada hemat saya – dalam konteks Perlembagaan Persekutuan.

Mungkin ada yang akan bertanya: adakah kerajaan minoriti PH itu akan dilihat stabil?

Tiada undi tak percaya

Justeru biar saya hujahkan, dengan adanya undang-undang antilompat parti, insya-Allah keadaan akan boleh menjadi stabil meskipun ia hanya berstatus kerajaan minoriti.

Mungkin juga ada yang bertanya: macam mana sekiranya ada undi tidak percaya dikemukakan?

Saya katakan fenomena undi tidak percaya boleh diatasi melalui sebuah mekanisme yang dipanggil CSA (Confidence-Supply Agreement) atau dikenali juga sebagai perjanjian keyakinan dan pembekalan.

Ia boleh dimeterai di antara kerajaan dengan gabungan politik atau dengan parti-parti tertentu.

Secara mudahnya, melalui perjanjian tersebut sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk.

Sebagai balasan atau imbalan pula, pihak yang memetarai CSA dengan kerajaan minoriti itu tidak akan dibenarkan untuk melakukan perkara tertentu, seperti tidak boleh bertindak mengemukakan undi tidak percaya.

Sumber – Malaysiakini