Mufti pertama tampil nyatakan sokongan terhadap DS Anwar

Mufti pertama tampil nyatakan sokongan terhadap DS Anwar

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor optimis  kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat merubah lanskap tanah air ke arah era baharu yang menjanjikan masa depan lebih baik.

Memetik MalaysiaGazette, beliau berkata Anwar memiliki bakat kepimpinan semula jadi sebagai pemimpin  berkemampuan untuk mengemudi negara ke puncak kemajuan dan kecemerlangan yang didambakan rakyat pelbagai kaum.

“Anwar Ibrahim boleh dianggap sebagai seorang ‘Muslih’ (reformis) dan mujaddid (pembaharu) yang akan membawa Malaysia ke arah pembinaan tamadun yang gemilang pada masa hadapan dengan izin Allah SWT.

“Keintelektualan beliau mendapat pengiktirafan seluruh dunia dan bagi umat Islam khususnya, Anwar Ibrahim adalah ibarat sebutir permata gemilang dan satu aset terbilang.

“Beliau juga memiliki pengalaman luas di dalam pelbagai bidang pentadbiran tertinggi negara kerana pernah menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan mengetuai beberapa kementerian yang penting termasuk kewangan, pendidikan dan pertanian. Malah kecemerlangan beliau dalam bidang kewangan diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut Wan Salim turut merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Malaysia kerana telah berjaya menghayati semangat Keluarga Malaysia dalam tempoh menunggu pembentukan Kerajaan Perpaduan yang akan menerajui pemerintahan negara untuk lima tahun akan datang.

“Tidak lupa juga penghargaan kepada para pemimpin dan anggota parti-parti politik daripada Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Parti Warisan Tanahair yang menjunjung tinggi titah Yang Di-Pertuan Agong dengan restu Raja-raja, dalam mencapai kesepakatan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

”Ia juga secara langsung menamatkan kemelut politik yang menyelubungi negara sejak keputusan PRU ke 15 diumumkan,” jelasnya.