Menurut Anwar presiden Amanah itu diberitahu ada Adun mereka memilih untuk menyertai PKR.
“Tapi pada peringkat awal kita (PKR) minta mereka (Adun terbabit) berurusan dengan presiden Amanah dahulu,” katanya kepada media di Port Dickson hari ini.
Kenyataan itu dibuat dua hari selepas tiga Adun Amanah Johor mengumumkan keputusan mereka meninggalkan parti itu bagi menyertai PKR.
Bekas pengerusi Amanah Pahang Hamzah Jaafar juga sudah lebih awal menyertai PKR namun kini dilantik menjadi ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di negeri tersebut.
Pada tahun lalu dua lagi Adun parti berkenaan sudah menyeberang ke PKR. Ia mencetuskan rasa tidak senang Amanah dan hubungan di antara kedua-dua parti kini terjejas.
Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh adalah antara pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang mengkritik tindakan tersebut.
Di sebalik apa yang berlaku itu Anwar berkata kemelut tersebut wajar dibincangkan dan diselesaikan secara baik di antara PKR dan Amanah.
Ketua Pembangkang itu juga yakin krisis tersebut tidak akan melemahkan PH.
“Tak terjejas… saya masih berhubung rapat dengan baik,” katanya. – MK