Strategi Perikatan Nasional halang undi percaya PM gagal, Anwar sapu bersih semua 148 undi MP Kerajaan Perpaduan

Strategi Perikatan Nasional halang undi percaya PM gagal, Anwar sapu bersih semua 148 undi MP Kerajaan Perpaduan

Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat petang ini.

Memetik Berita Harian, usul percaya itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang.
Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang juga Ketua Pembangkang membuka tirai perbahasan usul berkenaan.

Ahli Parlimen lain yang turut berbahas adalah Lim Guan Eng (PH-Bagan), Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Ronald Kiandee (PN-Beluran), Johari Ghani (BN-Titiwangsa), Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas), Rafizi Ramli (PH-Pandan), Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor), Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau), Shahidan Kassim (PN-Arau), Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor), dan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan).

Usul percaya itu bertujuan membuktikan Anwar dari PH, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu mendapat sokongan Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.

Berdasarkan sokongan mengikut parti, jumlah Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Anwar sekarang ialah seramai 148 orang. Ia merangkumi daripada PH 82, BN 30, GPS 23, GRS 6, Warisan 3, KDM 1, PBM 1, dan Bebas 2 kerusi.

Selebihnya iaitu 74 kerusi ialah milik PN yang juga blok pembangkang.
Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika menggulung perbahasan usul itu berkata undian percaya kepada Perdana Menteri pernah dilakukan sebelum ini, ketika pentadbiran Allahyarham Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, masing-masing pada 1976 serta 2003.

Beliau yang bersetuju dengan blok pembangkang mengenai usul berkenaan tidak wajib dibentangkan di Dewan Rakyat bagaimanapun menjelaskan, kebiasaannya sebelum ini, ia akan dibawa dalam keadaan kesinambungan antara Perdana Menteri.

Mengetengahkan contoh Kerajaan New Zealand, Azalina berkata, Perdana Menterinya yang mewujudkan kerajaan gabungan mengemukakan usul undi percaya bagi memberikan keyakinan dalam parlimen.

“Dalam hal ini, saya ingin tegaskan ialah permohonan kerajaan yang mana Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat membenarkan (usul undi percaya terhadap Perdana Menteri) dan kerajaan membuat permohonan,” kata Ahli Parlimen Pengerang itu.

Sokongan itu secara langsung mengabsahkan kedudukan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini, dengan sokongan diperoleh Anwar itu menggambarkan kedudukan sebuah kerajaan kukuh dan stabil.

Usul berkenaan untuk membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadapnya, sekali gus memperkukuh kestabilan Kerajaan Perpaduan yang tertubuh pasca PRU15.