Gagal menahan diri, pelakon veteran ini tampil minta campur tangan Fahmi Fadzil
ISU bayaran dalam kalangan artis bukan satu topik baharu dalam kalangan penggiat seni tanah air walaupun ada di antara mereka berulang kali menyuarakan perkara berkenaan.
Terbaharu, pelakon veteren Fauziah Nawi, 69, meluahkan rasa kecewa apabila masalah tersebut sudah menjadi sesuatu yang serius namun masih menemui jalan penyelesaian.
Selaku orang ‘lama’ dalam industri lakonan, Fauziah memberitahu dia juga bingung tentang tindakan yang sepatutnya dilakukan.
“Masalah karyawan baik yang belakang mahupun depan, masalah tak dapat bayaran… kena kencing perkara ini bukan saja dah jadi kudis tapi kanser dah merebak. Entah tak tahu apa nak jadi,” katanya.
Tambah Fauziah, isu berkenaan sudah diadukan ke beberapa persatuan yang sepatutnya membela nasib penggiat seni.
“Persatuan dah tak boleh buat apa-apa, baik persatuan penerbit, Seniman atau FDAM (Persatuan Pengarah Filem Malaysia) cakaplah apa pun tak boleh buat apa-apa,” katanya lagi.
Sehubungan itu, dia berharap agar Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil boleh membela nasib penggiat seni yang teraniya itu.
“Mungkin YB Fahmi Fadzil menteri kita yang baru boleh tengok kot perkara ini.
“Saya tahu masalah ini bukan pada YB tapi mungkin YB boleh tengok-tengokkan manalah tahu dengan YB masuk campur perkara ini boleh dikurangkan walaupun tidak boleh dihapuskan sepenuhnya,” – Fauziah Nawi