Kereta terbabas masuk tasik, lelaki nekad gadai nyawa terjun selamatkan tiga mangsa
Layak digelar hero! Itu tindakan seorang lelaki yang sanggup menggadai nyawa bagi menyelamatkan tiga individu selepas Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas ke dalam sebuah tasik dekat Kampung Jorak Elahi, Bukit Pasir, Batu Pahat tengah hari tadi.
Menurut laporan Harian Metro, Suzaini Mohd Sadali berkata, dia bertindak demikian selepas terdengar jeritan lelaki meminta pertolongan apatah lagi terkapai-kapai di bekas lombong bauksit tersebut.
Tanpa berfikir panjang, ‘hero’ berusia 43 tahun itu segera terjun untuk menyelamatkan mangsa-mangsa selain turut dibantu oleh dua lelaki lain yang menghulurkan pertolongan di lokasi kejadian.
“Ketika itu saya sedang memandu kereta melalui kawasan berkenaan dan ternampak kereta itu terbabas ke dalam tasik.
“Saya terus memberhentikan kenderaan dan melihat dua mangsa perempuan di sebelah tempat pemandu dan penumpang belakang sedang berpaut pada kereta serta menangis.
“Pemandu kereta pula sudah terkapai-kapai dan apabila dia melihat saya, dia menjerit meminta tolong, membuatkan saya terus terjun tanpa fikir apa-apa.
“Saya berjaya memaut lelaki itu dan membawanya berenang ke tepi tasik dan dua lelaki lain turut membantu mencapai kayu bagi menarik dua wanita berkenaan ke tepi,” katanya.
Suzaini berkata, dia bersyukur kesemua mangsa berjaya diselamatkan serta menyifatkan ia pengalaman yang sukar dilupakan dalam kehidupannya.
“Alhamdulillah, semua berjaya kami selamatkan dan memang ini pengalaman tak boleh dilupakan, tasik ini memang dalam,” ujarnya.
Terdahulu, tindakan berani Suzaini yang dikenali sebagai Ijai tular di media sosial sehingga meraih pujian ramai kerana berusaha menyelamatkan nyawa tiga mangsa terbabit.