Muhyiddin berdolak dalih dlm pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah PM10
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa ucapannya semasa ceramah ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berunsur fitnah, sebaliknya adalah komen yang adil.
Memetik Sinar Harian, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa ucapan tersebut adalah sebahagian daripada kempen politik untuk menyokong seorang calon PRU15 bagi kawasan Parlimen Padang Serai ketika itu.
Dalam pernyataan pembelaan terhadap saman fitnah difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya, Muhyiddin berkata, Anwar sebagai ketua Kerajaan Perpaduan, pemimpin Pakatan Harapan dan perdana menteri tidak harus tersinggung terhadap kritikan dan pertanyaan yang ditimbulkan olehnya semasa ucapan-ucapan politik.
“Plaintif (Anwar) sepatutnya secara terbuka dan sepenuh hati menjawab pertanyaan yang ditimbulkan dan menafikan sebarang dakwaan yang beliau dakwa sebagai palsu,” dakwa Muhyiddin.
Menurut Muhyiddin, beliau dan Anwar adalah tokoh awam dan pemimpin parti yang sering berhadapan dengan dakwaan yang mungkin telah disalah nyata, disalah sebut atau diambil di luar konteks oleh media.
Beliau mendakwa tidak mempunyai pengetahuan atau kawalan mengenai akaun TikTok di bawah nama “@beritakini8”, yang memuat naik video ucapan tersebut.
“Keseluruhan ucapan pada ceramah itu telah diterbitkan semula di akaun Facebook saya di bawah nama ‘Muhyiddin Yassin’. Saya tidak secara peribadi mengawal atau memuat naik sebarang bahan ke akaun Facebook saya,” dakwanya.