Trend terkini di TikTok, pelajar kelas belakang tayang kereta mewah, siap perli apa ‘top student’ dah capai
Kebelakangan ini timbul semula trend anak muda mempamer kemewahan di aplikasi TikTok sambil membandingkan kejayaan itu dengan murid cemerlang sewaktu persekolahan dahulu.
Antara point utama mempamer kekayaan itu, kononnya untuk membuktikan bahawa ‘budak kelas belakang’ lebih berjaya berbanding budak kelas hadapan yang cemerlang.
Bagaimanapun ‘content’ sebegini dianggap membimbangkan kerana mereka seolah memberi tanggapan remeh terhadap keperluan mendapatkan pendidikan yang sempurna di peringkat lebih tinggi.
Isu ini pernah menjadi perbincangan hangat tahun lalu dan kini ia dibincangkan semula di media sosial terutama di Twitter yang dilihat menjadi medan terbuka kepada anak muda mengutarakan perbincangan dan kritikan.
“Sekarang tengah trend budak-budak kelas belakang masa sekolah dulu up gambar dengan kereta-kereta mewah dan sedang kaya hari ini sambil menyindir ‘top ‘student.
“Satu benda mereka tak belajar, ‘sustainability’. Untuk 2 hingga 3 tahun ini memang kau boleh kaya, tapi belum tentu lagi untuk 20 hingga 30 tahun akan datang,” kata individu bernama @ZacZakirin.
Zac berkata, jika seseorang itu kaya tetapi masih berbangga dengan perangai ‘flexing’ dan merendahkan gaya hidup orang lain, individu itu masih belum mencapai taraf kehidupan yang baik walaupun punyai duit.
Pada masa sama, salah seorang individu yang dikenali dalam kalangan anak muda, @InjangNation turut menasihatkan agar anak muda tidak tergugat dengan trend pamer kemewahan yang dicetuskan semula.
“Kepada mereka yang cemerlang sewaktu di sekolah, jangan rasa tergugat dengan post-post sebegini.
“Ingat, benih yang baik, dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau. Ilmu itu sentiasa lebih penting dalam kehidupan,” katanya.
Melihat kepada reaksi rata-rata pengguna media sosial, mereka bersetuju bahawa ilmu dan pendidikan mengatasi kekayaan yang hanya sementara.
Mereka berpendapat, walaupun kebanyakan graduan memulakan kerjaya dengan permulaan gaji yang rendah, mereka masih boleh membina kerjaya dan menambah pendapatan seiring dengan waktu.
“Ilmu tetap membezakan diri serta keperibadian. Memang sedih bila melihat kekayaan dijadikan kayu pengukur sebuah kejayaan,” kata salah seorang netizen di Twitter.